Perbandingan kes ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menimbulkan persoalan mengenai ketekalan penggunaan budi bicara pendakwaan di negara ini.
Perkara paling penting dalam kes Nicky ialah beliau, dua adiknya dan beberapa individu yang dikaitkan dengan kumpulan yang didakwa sebagai “Geng Nicky” bukan dibebaskan selepas melalui perbicaraan penuh.
Mereka dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi dan pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan atau rayuan.
Perintah pembebasan memang dikeluarkan oleh mahkamah. Namun, faktor yang membawa kepada perintah tersebut ialah keputusan pendakwa raya untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang.
Nicky pada asalnya didakwa tanpa kehadirannya pada 9 April 2021 di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang.
Pada 30 September 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam memberikannya perintah melepas tanpa membebaskan atau DNAA selepas pihak pendakwaan memohon supaya pertuduhan dilepaskan sementara menunggu hasil siasatan pengubahan wang haram.
Peguam Nicky kemudian memfailkan semakan terhadap keputusan itu.
Pada 23 Februari 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan tersebut dan menggantikan DNAA dengan perintah melepas dan membebaskan Nicky.
AGC tidak menerima keputusan itu pada peringkat awal dan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 8 Mac 2022.
Bagaimanapun, menurut peguam Nicky, Datuk Rajpal Singh, pihak pendakwaan kemudiannya menarik balik rayuan tersebut selepas menerima representasi daripada pihak pembelaan.
Dengan penarikan rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Nicky daripada pertuduhan berkaitan kumpulan jenayah terancang kekal.
Perkembangan hampir sama berlaku dalam kes 14 individu lain, termasuk dua adik Nicky, yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.
Pada mulanya, mereka diberikan DNAA oleh Mahkamah Tinggi pada 30 September 2021 selepas pihak pendakwaan memohon supaya pertuduhan ditarik balik kerana siasatan belum lengkap.
Mereka kemudian merayu untuk mendapatkan pembebasan penuh.
Pada 7 Julai 2022, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan kesemua 14 individu selepas dimaklumkan bahawa AGC telah menerima representasi mereka.
Oleh itu, Nicky, dua adiknya dan individu lain memang dibebaskan melalui perintah mahkamah. Namun, pembebasan tersebut berlaku selepas pihak pendakwaan menerima representasi serta tidak meneruskan pertuduhan atau rayuan—bukan selepas perbicaraan penuh yang menguji keseluruhan keterangan pendakwaan.
Selepas pertuduhan jenayah terancang berakhir, Nicky masih menghadapi 26 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM36 juta.
Pertuduhan itu juga tidak diteruskan sehingga perbicaraan penuh.
Pihak pembelaan mengemukakan representasi supaya semua pertuduhan diselesaikan melalui kompaun di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Selepas menilai representasi dan keterangan yang tersedia, AGC bersetuju menawarkan kompaun RM10 juta.
Nicky membayar kompaun tersebut pada 29 Mei 2023. Penyelesaian itu turut melibatkan pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 dan harta yang disita.
Pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam mengeluarkan perintah pelepasan selepas pihak pendakwaan tidak meneruskan 26 pertuduhan tersebut.
AGC menegaskan bahawa Nicky tidak dilepaskan tanpa tindakan undang-undang kerana beliau telah membayar kompaun RM10 juta, selain kehilangan bon dan harta yang disita.
Beliau juga dilaporkan melunaskan tunggakan cukai kira-kira RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Namun, rangkaian keputusan itu memperlihatkan bahawa representasi kepada Peguam Negara memainkan peranan penting dalam penyelesaian semua kes utama yang dihadapi Nicky.
Dalam kes jenayah terancang, rayuan pendakwaan ditarik balik selepas representasi diterima.
Dalam kes melibatkan dua adiknya dan 12 individu lain, Mahkamah Rayuan memberikan pembebasan penuh selepas AGC menerima representasi mereka.
Dalam kes pengubahan wang haram pula, 26 pertuduhan diselesaikan melalui kompaun selepas satu lagi representasi diterima.
Ismail Sabri pula berdepan pendekatan berbeza.
Pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan wang tunai lebih RM169 juta yang dikaitkan dengannya dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Wang dalam pelbagai mata wang itu disita daripada bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus.
Ismail Sabri dan Mohammad Anuar tidak mencabar permohonan pelucuthakan tersebut. Tiada pihak ketiga tampil membuat tuntutan selepas notis berkaitan diwartakan.
Walaupun kerajaan telah memperoleh RM169 juta itu, Ismail Sabri masih dilaporkan bakal didakwa berhubung pengisytiharan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pendakwaan yang dijadualkan pada 7 Ogos ditangguhkan ke 27 Ogos berikutan masalah kesihatan bekas Perdana Menteri berkenaan.
Dari sudut undang-undang, pelucuthakan RM169 juta tidak secara automatik menghalang Ismail Sabri daripada didakwa.
Prosiding pelucuthakan hanya menentukan kedudukan harta. Ia bukan perbicaraan jenayah yang menentukan sama ada seseorang bersalah melakukan sesuatu kesalahan.
Namun, persoalan yang timbul bukan sekadar sama ada pihak pendakwaan mempunyai kuasa untuk mendakwa Ismail Sabri.
Persoalannya ialah mengapa ruang penyelesaian melalui representasi, penarikan pertuduhan dan kompaun digunakan secara meluas dalam kes Nicky, sedangkan pendakwaan terhadap Ismail Sabri tetap diteruskan selepas kerajaan memperoleh RM169 juta.
Adakah Ismail Sabri pernah mengemukakan representasi kepada AGC? Jika pernah, adakah ia ditolak dan atas alasan apa?
Adakah kesalahan yang bakal dipertuduhkan terhadapnya tidak boleh dikompaun? Adakah kepentingan awam, kekuatan bukti atau sifat kesalahan dalam kedua-dua kes terlalu berbeza?
Jika terdapat alasan undang-undang yang jelas, AGC perlu menerangkannya setakat yang dibenarkan tanpa menjejaskan perjalanan kes.
Kewujudan kuasa budi bicara bukan alasan untuk mengelakkan penjelasan tentang bagaimana kuasa itu digunakan.
Ini bukan soal mempertahankan Ismail Sabri atau menafikan hak Nicky mengemukakan representasi yang dibenarkan undang-undang.
Isunya ialah kesamarataan di hadapan undang-undang dan keyakinan masyarakat terhadap institusi pendakwaan.
Rakyat kini melihat seorang ahli perniagaan dilepas daripada pertuduhan jenayah terancang selepas rayuan pendakwaan ditarik balik, manakala 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya diselesaikan melalui kompaun RM10 juta.
Dua adiknya dan 12 individu lain turut dilepas dan dibebaskan selepas AGC menerima representasi mereka.
Pada masa sama, seorang bekas Perdana Menteri kehilangan wang RM169 juta kepada kerajaan tetapi masih akan dibawa ke mahkamah.
Semua keputusan itu mungkin sah di sisi undang-undang. Namun, tanpa penjelasan mengenai perbezaan pertimbangan pendakwaan, persoalan tentang layanan yang tidak sekata akan terus berlegar.
Undang-undang bukan sahaja perlu dilaksanakan secara adil. Ia juga mesti dilihat dilaksanakan secara adil.
Ismail Sabri kekal dianggap tidak bersalah terhadap apa-apa pertuduhan sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.



