GALERI PETRONAS berpindah ke Ombak KLCC, dibuka sepenuhnya hujung 2027

KUALA LUMPUR – GALERI PETRONAS bakal memulakan lembaran baharu dengan berpindah ke Ombak KLCC sebagai sebahagian usaha memperluas peranannya dalam memajukan seni kontemporari dan landskap kebudayaan negara.

Sebagai penyewa utama di lokasi baharu itu, GALERI PETRONAS akan memperkenalkan pengalaman khas dikenali sebagai “First Glimpse” bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat ruang berkenaan lebih awal.

Pengalaman tersebut menjadi permulaan kepada pembukaan secara berperingkat sebelum galeri itu dibuka sepenuhnya kepada orang ramai menjelang akhir 2027.

Menurut GALERI PETRONAS, perpindahan tersebut bukan sekadar melibatkan perubahan lokasi, sebaliknya mencerminkan komitmennya untuk memperluas kerjasama, pertukaran kreatif dan penglibatan masyarakat dalam bidang seni.

Ruang baharu itu juga dijangka memberikan akses lebih luas kepada orang ramai untuk menikmati Koleksi Seni PETRONAS, antara koleksi seni korporat terpenting di negara ini yang dihimpunkan sejak 1993.

Naib Presiden Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Ir. Norafizal Mat Saad berkata, perpindahan tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan GALERI PETRONAS.

“Lebih daripada sebuah ruang fizikal, ia mencerminkan komitmen berterusan kami untuk menjadikan seni kontemporari lebih mudah diakses oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Di lokasi baharu ini, kami berharap dapat mewujudkan persekitaran yang memberikan inspirasi, menghubungkan masyarakat melalui seni, mencetuskan perbualan dan membentuk perspektif baharu untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ditubuhkan pada 1992, GALERI PETRONAS berperanan sebagai platform untuk mempromosi, mengembangkan dan memelihara seni kontemporari Malaysia.

Sepanjang lebih tiga dekad, galeri itu menerima hampir dua juta pengunjung menerusi pelbagai pameran dan program awam yang menampilkan karya seniman tempatan serta antarabangsa.

GALERI PETRONAS sebelum ini beroperasi di Suria KLCC sehingga penghujung Julai lalu. Perpindahan ke Ombak KLCC dijangka memperkukuh kedudukan kawasan KLCC sebagai destinasi seni dan budaya utama di Kuala Lumpur.

Leave a Comment