Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit: Jambatan Antara Industri dan Kelestarian Alam

Industri sawit merupakan antara penyumbang terpenting kepada ekonomi negara. Namun, di sebalik nilai eksportnya yang mencecah lebih RM100 bilion setahun, industri ini terus berhadapan satu persoalan besar: mampukah pengeluaran sawit berkembang tanpa terus mengorbankan hutan dan hidupan liar?

Persoalan itu semakin mendesak apabila kawasan seperti Kinabatangan di Sabah menjadi simbol pertembungan antara kepentingan ekonomi dengan kelangsungan khazanah alam.

Kinabatangan merupakan antara ekosistem paling unik di dunia. Kawasan itu menjadi habitat kepada gajah Borneo, orang utan, beruang matahari, ungka Borneo, lutung, tenggiling, burung enggang dan pelbagai spesies lain yang sebahagiannya kini terancam.

Namun, pembangunan sejak beberapa dekad lalu termasuk pembalakan, pembukaan tanah dan perluasan ladang sawit telah mengubah sebahagian besar landskap asalnya.

Adakah industri sawit dan pemuliharaan alam perlu terus berada di dua sisi bertentangan atau kedua-duanya masih mempunyai ruang untuk bergerak seiring?

Di tengah-tengah pertembungan antara kepentingan ekonomi dan kelangsungan khazanah alam, moderator Podcast Jam Kesebelas, Ab Jalil Backer bersama Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Azim Mahmud merungkai sejarah hubungan industri sawit dengan alam sekitar, cabaran pemuliharaan serta masa depan usaha mewujudkan keseimbangan antara kedua-duanya.

Menerusi episod bertajuk “Kinabatangan: Komoditi dan Hidupan Liar Mencari Titik Keseimbangan”, perbincangan itu turut menelusuri peranan MPOGCF sebagai jambatan yang menghubungkan industri, kerajaan, penyelidik dan komuniti dalam memastikan kemajuan sektor sawit tidak lagi berlaku dengan mengorbankan habitat serta kelangsungan hidupan liar.

Daripada industri kepada pemuliharaan

MPOGCF ditubuhkan pada 2021 oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bagi membantu memastikan industri sawit negara berkembang secara mampan.

Walaupun ditubuhkan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi serta dibiayai industri, MPOGCF mempunyai Lembaga Pemegang Amanahnya sendiri.

Peranannya bukan sekadar mempertahankan imej sawit Malaysia di peringkat antarabangsa, tetapi melaksanakan usaha pemuliharaan berasaskan penyelidikan, data dan tindakan di lapangan.

Menurut Azim, hubungan antara industri sawit dengan pemuliharaan alam suatu ketika dahulu dianggap sesuatu yang hampir mustahil.

Sekitar 15 hingga 20 tahun lalu, biodiversiti dan pemuliharaan bukan sebahagian daripada pertimbangan utama kebanyakan pemain industri perladangan.

Malah, menurut beliau, sebahagian pemain industri generasi terdahulu mempunyai pemikiran “sifar haiwan” yang mahukan ladang bebas sepenuhnya daripada hidupan liar.

Keadaan itu mula berubah selepas kerajaan memperkenalkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), khususnya MSPO 2.0 yang memberikan penekanan lebih besar terhadap biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar.

Tekanan pasaran antarabangsa turut memaksa industri menilai semula cara sawit dihasilkan.

Permintaan terhadap hasil pertanian yang bebas daripada penebangan hutan, pematuhan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta perubahan kehendak pengguna menjadikan kelestarian bukan lagi satu pilihan tambahan.

Ia kini menjadi sebahagian daripada syarat untuk industri sawit terus diterima pasaran dunia.

Menjawab tuduhan “acah-acah hijau”

Apabila sebuah yayasan yang dibiayai industri melaksanakan projek pemuliharaan, persoalan mengenai greenwashing atau “acah-acah hijau” pasti timbul.

Adakah program berkenaan benar-benar membawa perubahan atau sekadar bertujuan memulihkan imej industri sawit yang sering dikaitkan dengan penebangan hutan dan kehilangan habitat?

Azim mengakui MPOGCF tidak boleh mengelak daripada persepsi sedemikian.

Namun, beliau menegaskan bahawa kerja pemuliharaan tidak boleh berhenti pada kempen, laporan atau pelancaran program semata-mata.

Bagi memastikan usaha itu tidak sekadar menjadi bahan perhubungan awam, setiap projek perlu dimulakan dengan penyelidikan, disokong data dan diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar.

MPOGCF bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia bagi mengumpulkan serta menganalisis data.

Hasil penyelidikan berkenaan kemudiannya digunakan untuk merangka intervensi yang sesuai.

“Kita bukan bekerja di atas kertas. Kaedah kita bekerja bermula daripada pengumpulan data. Kita jalankan penyelidikan dengan universiti dan selepas mendapat data, barulah kita terjemahkan kepada pelaksanaan di lapangan,” katanya.

Antara contoh yang diketengahkan ialah Program BOSI 2.0, iaitu usaha menggalakkan kehadiran burung pungguk di kawasan kebun sawit sebagai kaedah kawalan biologi terhadap tikus.

Kajian oleh Universiti Sains Malaysia mendapati kehadiran burung berkenaan berupaya mengurangkan ancaman tikus terhadap tanaman, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada racun perosak.

Sarang khas ditempatkan di kebun sawit dengan mengambil kira saiz, kedudukan dan arah bukaan yang sesuai. Program tersebut kemudiannya dikembangkan ke beberapa wilayah selepas menunjukkan hasil positif.

Pendekatan sedemikian memperlihatkan bahawa pemuliharaan tidak semestinya menjadi beban kepada produktiviti. Dalam keadaan tertentu, keseimbangan ekologi juga boleh membantu mengurangkan kos dan kerosakan tanaman.

Kinabatangan sebagai medan ujian

Peranan MPOGCF menjadi semakin penting di Sabah, khususnya apabila melibatkan habitat gajah Borneo dan orang utan.

Kinabatangan masih menjadi antara kawasan biodiversiti terpenting dunia, tetapi ekosistemnya kini terpecah-pecah akibat perubahan guna tanah.

Sebahagian hutan yang dahulunya membentuk habitat bersambung telah bertukar menjadi ladang, jalan dan kawasan pembangunan. Keadaan itu mengehadkan pergerakan hidupan liar serta meningkatkan kemungkinan haiwan memasuki kawasan pertanian atau penempatan manusia.

Gajah Borneo merupakan antara spesies yang paling terkesan.

Penilaian Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) pada 2024 menganggarkan hanya sekitar 1,000 ekor gajah Borneo masih hidup, dengan kira-kira 200 hingga 250 ekor dipercayai berada di Hilir Kinabatangan.

Apabila habitat menjadi semakin sempit dan terpisah, gajah tidak mempunyai banyak pilihan selain melalui kawasan ladang untuk bergerak dari satu kawasan hutan ke kawasan lain.

Dari sudut pekebun, kehadiran sekumpulan gajah boleh membawa kerugian besar. Dalam musim penanaman semula, puluhan ekor gajah boleh memusnahkan anak sawit dalam masa yang singkat.

Dari sudut hidupan liar pula, kawasan ladang yang dimasuki itu mungkin sebahagian daripada laluan tradisi yang telah digunakan sejak beberapa generasi sebelum tanah berkenaan dibangunkan.

Pertembungan itu akhirnya boleh mengancam manusia, sumber pendapatan dan hidupan liar.

Memulihkan gajah sebelum kembali ke habitat

Di Kinabatangan, MPOGCF bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi menambah baik kemudahan di Bornean Elephant Sanctuary.

Pusat itu menerima gajah yang cedera, terkena tembakan atau racun, selain menyelamatkan anak gajah yang terpisah daripada kumpulannya.

Gajah berkenaan akan dirawat dan dipulihkan sebelum melalui proses penyesuaian semula untuk dilepaskan kembali ke habitat semula jadi apabila sesuai.

MPOGCF turut menjalin hubungan dengan pemain industri dan organisasi pemuliharaan di Sabah bagi menjalankan penyelidikan serta mencari pendekatan terbaik untuk menangani konflik hidupan liar.

Bagaimanapun, Azim mengakui MPOGCF belum mempunyai banyak projek khusus berskala besar di Kinabatangan.

Peranannya di kawasan itu buat masa ini lebih tertumpu kepada penyelarasan, penyertaan dalam bengkel dan perbincangan kumpulan berfokus, selain membina kerjasama dengan agensi kerajaan, industri serta pertubuhan pemuliharaan.

Pengakuan itu penting kerana ia menunjukkan pemulihan Kinabatangan masih memerlukan komitmen dan tindakan yang jauh lebih besar daripada semua pihak.

Sejuta pokok untuk habitat orang utan

Pada peringkat lebih luas di Sabah, MPOGCF turut melaksanakan projek pemulihan habitat orang utan di Lower Kawag, Lahad Datu.

Projek selama 10 tahun itu menyasarkan penanaman sejuta pokok bagi memulihkan kawasan hutan yang mengalami kemerosotan serius.

Projek berkenaan kini memasuki fasa ketiga. Menurut Azim, dua fasa terdahulu menunjukkan perkembangan positif apabila orang utan mula kembali memasuki kawasan habitat yang dipulihkan.

Gajah turut dikesan kembali ke hutan berkenaan.

Kehadiran semula haiwan tersebut menjadi petunjuk awal bahawa pemulihan habitat bukan sesuatu yang mustahil.

Namun, penanaman pokok sahaja belum mencukupi sekiranya kawasan berkenaan tidak dihubungkan dengan habitat lain atau terus dikelilingi pembangunan yang tidak terkawal.

Hutan yang terpisah kepada kelompok-kelompok kecil mungkin masih kelihatan hijau pada peta, tetapi tidak semestinya mampu menjamin kelangsungan spesies yang memerlukan kawasan jelajah luas.

Koridor hidupan liar menuntut pengorbanan

Mewujudkan koridor hidupan liar merupakan antara kaedah penting untuk menyambungkan kawasan hutan yang terpisah.

Namun, pelaksanaannya bukan mudah kerana laluan yang dikenal pasti mungkin melalui kebun kecil, ladang komersial atau tanah persendirian.

Bagi seorang pekebun kecil yang hanya mempunyai tanah seluas 10 ekar, menyerahkan sebahagian kawasannya untuk dijadikan koridor gajah merupakan satu pengorbanan besar.

Pemilik tanah mungkin melihatnya sebagai kehilangan kawasan produktif dan sumber pendapatan.

Namun, kegagalan menyediakan laluan tidak semestinya menghalang gajah daripada melintas. Haiwan berkenaan akan tetap mencari laluan dan keadaan itu meningkatkan risiko kerosakan tanaman serta konflik dengan manusia.

“Pemilik kebun akan berfikir mengapa mereka perlu mengorbankan lagi tanah yang kecil untuk memberi laluan kepada gajah.

“Tetapi kalau kita tidak memberikan laluan, gajah akan tetap lalu dan tanaman mereka juga boleh rosak. Itulah antara cabaran yang kita hadapi,” kata Azim.

Oleh itu, usaha mewujudkan koridor memerlukan lebih daripada nasihat mengenai pemuliharaan.

Ia perlu disertai mekanisme pembiayaan, pampasan, insentif serta pelan pengurusan yang adil kepada pemilik tanah.

Dalam hal ini, MPOGCF berperanan sebagai pengantara yang menemukan kerajaan, industri, penyelidik dan komuniti bagi mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak.

Lima pihak perlu bergerak bersama

Menurut Azim, pemuliharaan tidak akan berjaya jika tanggungjawab itu diserahkan kepada satu organisasi sahaja.

Sekurang-kurangnya lima pihak perlu bergerak bersama, iaitu kerajaan, industri, yayasan, institusi pengajian tinggi dan komuniti.

Kerajaan mempunyai kuasa dalam soal peraturan, pelesenan, kelulusan dan perlindungan kawasan hutan.

Industri pula mempunyai sumber kewangan, teknologi serta kawalan terhadap operasi ladang. Universiti membekalkan penyelidikan dan data, manakala komuniti mempunyai pengetahuan setempat serta menjadi pelaksana di peringkat akar umbi.

MPOGCF pula bertindak sebagai pengantara untuk menyelaraskan kepentingan semua pihak.

“Universiti membekalkan data, komuniti melaksanakan di peringkat bawahan, industri mendanai, manakala kerajaan mempunyai kuasa, memegang lesen dan memberikan kebenaran.

“Kami pula bertindak sebagai pengantara untuk melaksanakan program dan projek berkenaan,” katanya.

Kerjasama tersebut penting kerana pemulihan habitat tertakluk kepada pelbagai peraturan.

Sebagai contoh, tumbuhan yang menjadi makanan gajah tidak boleh ditanam sewenang-wenangnya di dalam hutan jika dikategorikan sebagai spesies asing.

Tanpa penyelarasan dengan jabatan kerajaan, usaha yang kelihatan baik mungkin sebenarnya mengganggu ekosistem atau melanggar peraturan sedia ada.

Gajah perlu diurus, bukan diperangi

Konsep kewujudan bersama atau coexistence sering disebut apabila membincangkan industri sawit dan hidupan liar.

Namun, istilah itu hanya membawa makna jika diterjemahkan kepada sistem pengurusan yang nyata.

Azim menegaskan bahawa gajah merupakan haiwan yang boleh diurus, tetapi ia menuntut sedikit pengorbanan dan perubahan pemikiran dalam kalangan pemilik ladang serta pekebun kecil.

Koridor pergerakan, kawasan makanan, jenut atau sumber garam, pasukan renjer serta sistem tindak balas komuniti merupakan antara kaedah yang boleh membantu mengurangkan konflik.

Beberapa ladang di Sabah dan Sarawak serta pekebun kecil di Kampung Sungai Ara, Johor dilaporkan berjaya menguruskan konflik gajah melalui penubuhan jawatankuasa dan pasukan renjer.

Usaha berkenaan membuktikan bahawa konflik tidak semestinya diselesaikan melalui konfrontasi, penangkapan atau pemindahan haiwan.

Bagaimanapun, masih terdapat pemilik ladang yang memilih pendekatan agresif kerana menganggap kos mitigasi lebih tinggi berbanding tindakan menghalau atau menyerang haiwan.

Pendekatan sedemikian bukan sahaja mengancam spesies yang semakin berkurangan, malah boleh membahayakan nyawa pekerja serta penduduk.

Menurut Azim, kesedaran mengenai kaedah pengurusan hidupan liar semakin meningkat dan jumlah pihak yang memilih pendekatan konfrontasi juga semakin berkurangan.

Namun, dana sahaja tidak mencukupi. Pemilik ladang perlu memahami sebab sesuatu langkah dilaksanakan dan bersedia memberikan kerjasama.

“Ini bukan usaha main-main. Ia melibatkan nyawa dan sumber pendapatan ekonomi negara.

“Kalau kita tidak dapat menyelesaikannya, jualan sawit boleh terjejas dan industri akan terus diserang oleh pihak luar apabila berlaku kesilapan berkaitan pemuliharaan,” katanya.

Kelestarian sebagai syarat pasaran

Dorongan untuk memelihara biodiversiti bukan hanya datang daripada pertimbangan moral atau alam sekitar.

Ia juga berkait secara langsung dengan masa depan ekonomi sawit Malaysia.

Peraturan seperti Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) menuntut industri membuktikan bahawa komoditi yang memasuki pasaran Eropah tidak mempunyai kaitan dengan penebangan hutan.

Persediaan untuk mematuhi tuntutan itu melibatkan pelaburan besar dalam sistem penjejakan, dokumentasi, perkhidmatan profesional serta perubahan operasi.

Penangguhan pelaksanaan peraturan berkenaan mungkin mengecewakan industri yang telah membelanjakan jutaan ringgit. Namun, menurut Azim, usaha yang telah dimulakan tidak seharusnya dihentikan.

Ini kerana Eropah bukan satu-satunya pasaran yang semakin menitikberatkan kelestarian. Pasaran seperti China dan India turut mula memberikan perhatian terhadap tuntutan hampir sama.

Dalam konteks itu, wang yang dibelanjakan untuk memenuhi standard antarabangsa tidak seharusnya dilihat sebagai pembaziran.

Pelaburan tersebut boleh meningkatkan daya tahan industri, membuka akses kepada lebih banyak pasaran dan pada masa sama memberikan manfaat kepada alam sekitar negara.

Kejayaan yang jarang diceritakan

Sebahagian usaha pemuliharaan industri sawit sebenarnya telah menunjukkan hasil, tetapi kurang diketahui masyarakat.

Azim memberikan contoh kawasan bernilai pemuliharaan tinggi seluas kira-kira 2,600 hektar milik Sawit Kinabalu, anak syarikat Yayasan Sabah.

Kawasan itu dilaporkan menjadi habitat kepada kira-kira 60 ekor orang utan yang hidup secara liar.

Namun, pencapaian tersebut tidak banyak diketengahkan sehingga dibentangkan dalam sebuah forum biodiversiti pada 2024.

Keadaan itu menunjukkan bahawa sesetengah syarikat mungkin melaksanakan usaha pemuliharaan untuk memenuhi keperluan pelanggan mereka, tetapi manfaat dan pengalamannya tidak dikongsi dengan industri secara menyeluruh.

MPOGCF mahu kejayaan sedemikian diketengahkan bukan hanya bagi tujuan pemasaran, tetapi sebagai model yang boleh dipelajari dan dicontohi oleh pemain lain.

Bagaimanapun, komunikasi mengenai kejayaan juga mesti disertai ketelusan data.

Tanpa penilaian bebas dan bukti yang boleh diperiksa, usaha mempromosikan pencapaian industri tetap berisiko dianggap sebagai greenwashing.

Masa depan sawit ditentukan di lapangan

MPOGCF menetapkan empat objektif utama dalam pelan lima tahunnya, iaitu melindungi habitat, memantau data pemuliharaan, membantu mengubah operasi industri serta menggalakkan perkongsian tanggungjawab antara industri, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Namun, ukuran sebenar kejayaannya bukan jumlah program yang dilancarkan, seminar yang dianjurkan atau sijil yang diterima.

Kejayaan perlu dinilai berdasarkan keluasan habitat yang berjaya dipulihkan, keterhubungan koridor hidupan liar, pengurangan konflik, perubahan operasi ladang dan kestabilan populasi spesies terancam.

Azim sendiri menegaskan bahawa industri sawit negara mesti lestari bukan hanya pada sijil, tetapi juga dari segi pelaksanaannya.

Data dan bukti di lapangan perlu bergerak seiring dengan pengiktirafan yang dimiliki industri.

“Kita mahu industri sawit ini mampan dan lestari bukan hanya pada sijil. Kita mahu industri sawit kita lestari dari segi praktikalnya.

“Buktinya dan datanya mesti seiring dengan persijilan yang mereka ada. Dengan cara itu sahaja kita akan dapat memenuhi tuntutan pasaran masa hadapan,” katanya.

Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, kemampanan, kelestarian dan pemuliharaan dijangka menjadi antara penentu sama ada minyak sawit terus diterima pasaran atau semakin kehilangan tempat.

Kinabatangan pula menjadi peringatan bahawa apabila pembangunan tidak diseimbangkan, kerosakan yang berlaku mungkin mengambil masa puluhan tahun untuk dipulihkan. Malah, sebahagian kehilangan mungkin tidak dapat dikembalikan sama sekali.

Persoalan akhirnya bukan sama ada negara perlu memilih antara pembangunan ekonomi dengan alam sekitar.

Persoalan sebenarnya ialah sama ada industri, kerajaan dan masyarakat mempunyai keberanian untuk memastikan kemajuan manusia tidak lagi dibayar dengan kehilangan khazanah alam.

Leave a Comment