Malaysia berpeluang raih manfaat daripada projek kuasa rentas sempadan – Fadillah

SINGAPURA, 26 Okt 2026– Malaysia berpeluang mendapat manfaat daripada projek elektrik rentas sempadan melibatkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui penyertaan kontraktor tempatan, kepakaran kejuruteraan dan pembangunan mekanisme sijil tenaga boleh baharu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek tersebut yang melibatkan pembelian tenaga angin luar pesisir dari Vietnam serta penghantarannya ke Singapura, akan mewujudkan peluang bagi kontraktor Malaysia untuk menyertai pembangunan infrastruktur penghantaran, termasuk kabel dasar laut.

“Apabila anda melaksanakan projek talian penghantaran (kuasa elekrtik), sudah tentu anda memerlukan kontraktor, dan kontraktor tersebut akan datang dari Malaysia.

“Dari segi modal insan, ini akan menjadi satu lagi pengalaman pembelajaran bagi jurutera kita, dan memandangkan ini merupakan kali pertama kita terlibat dalam projek bersama Vietnam, kita akan mempelajari tentang bekalan tenaga angin,” katanya kepada Bernama di luar acara Singapore International Energy Week 2026 (SIEW 2026) di sini, hari ini.

Menerusi projek itu, Petronas dan TNB, melalui MY Energy Consortium (MYEC), akan bekerjasama dengan PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) untuk membangunkan pelan bekalan elektrik rentas sempadan yang melibatkan tenaga angin luar pesisir dari Vietnam.

Fadillah berkata Malaysia juga boleh menyumbangkan kepakarannya dalam membangunkan mekanisme bagi pertukaran sijil tenaga boleh baharu dengan Vietnam, yang mana ia penting bagi daya maju komersial projek tersebut.

“Vietnam belum membangunkan perkara itu, jadi pakar kita boleh bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan kaedah bagaimana mereka boleh mendapat manfaat dari segi sijil tenaga boleh baharu.

“Jika tidak, projek itu tidak akan berdaya maju tanpa sijil tenaga boleh baharu,” katanya.

Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura telah memberikan kelulusan bersyarat kepada Sembcorp Utilities Pte Ltd dan rakan konsortiumnya untuk mengimport 1.3 gigawatt (GW) elektrik ke Singapura.

Kelulusan tersebut membolehkan projek itu mendapatkan dan menyepadukan elektrik rendah karbon daripada sumber serantau dan domestik, termasuk tenaga angin luar pesisir dari Vietnam serta tenaga solar dari Malaysia.

Sembcorp Utilities sedang berusaha untuk memulakan import elektrik di bawah projek tersebut menjelang 2035, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, perjanjian pembelian tenaga, serta aturan pembiayaan.

Fadillah berkata kira-kira 30 peratus tenaga elektrik daripada perjanjian tenaga angin luar pesisir Vietnam akan dibekalkan ke Semenanjung Malaysia, dengan sebahagian besarnya disalurkan ke Singapura.

Mengenai kerjasama tenaga serantau yang lebih luas, beliau berkata inisiatif tersebut menekankan kepentingan membangunkan Grid Tenaga ASEAN, yang akan membolehkan negara anggota saling bertukar tenaga elektrik berdasarkan sumber tenaga serta keperluan bekalan masing-masing.

“Mengapakah kita memerlukan Grid Tenaga ASEAN? Ia bukan sekadar untuk Malaysia. Ia adalah untuk seluruh ASEAN. Setiap negara mempunyai kelebihannya yang tersendiri,” katanya.

Beliau menyebut sumber tenaga hidro dan angin di Laos, serta sumber tenaga solar dan gas di Thailand, sebagai contoh bagaimana kesalinghubungan elektrik serantau boleh membolehkan negara saling melengkapi campuran tenaga masing-masing.

“Apabila berlaku kekurangan, kita boleh melakukan pertukaran merentasi sempadan. Kita boleh membeli daripada jiran-jiran kita.

“Apabila terdapat kekurangan di Malaysia, kita boleh membeli daripada mereka. Apabila kita mempunyai lebihan, kita juga boleh membekalkan kepada mereka,” katanya.

Fadillah berkata grid serantau akan membantu menjamin keterjaminan dan kestabilan bekalan elektrik, di samping mengekalkan kos pada tahap yang mampu ditanggung dengan membolehkan negara berkongsi sumber dan bukannya melabur secara berasingan bagi setiap kapasiti penjanaan yang diperlukan mereka.

“Pertama adalah untuk memastikan adanya bekalan yang terjamin, kedua ialah kestabilan bekalan, dan ketiga kemampuan dari segi harga,” katanya.

Beliau berkata Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS) telahpun menjadi model operasi bagi perdagangan elektrik rentas sempadan dengan usaha sedang dijalankan untuk memperluaskan perjanjian serupa kepada negara anggota ASEAN yang lain.

Perjanjian sedia ada menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, manakala Vietnam  bersetuju untuk menyertai, dan perbincangan lanjut diperlukan dengan Kemboja, katanya.

Beliau berkata Indonesia sudahpun membeli elektrik daripada Sarawak melalui sambungan dengan Kalimantan Barat, manakala Filipina juga bersetuju secara prinsip untuk menyambung kepada grid serantau melalui Sarawak.

Fadillah berkata negara anggota ASEAN berharap untuk memuktamadkan perjanjian tersebut pada tahun depan beralih daripada memorandum persefahaman (MoU) sedia ada ke arah rangka kerja serantau yang lebih konkrit.

“Buat masa ini, ia hanyalah satu MoU dan kita perlu memuktamadkannya. Jika semua pihak boleh bersetuju, maka kita boleh mewujudkan sesuatu yang serupa dengan LTMS untuk seluruh ASEAN,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Comment