Khazanah bumi dan geopolitik hijau, memeta masa depan industri mineral Malaysia pasca-Deklarasi Manila 2026

Oleh Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Minggu lalu di Manila, para pemimpin ASEAN menerima pakai Deklarasi Mineral Kritikal ASEAN bagi Ketahanan Serantau dan Pertumbuhan Mampan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49. Menjelang mesyuarat mineral ASEAN pada 23 hingga 26 November 2026, perhatian kini beralih kepada bagaimana negara anggota boleh memperkukuh rantaian bekalan serantau dan meraih nilai lebih tinggi daripada sumber mineral masing-masing.

Peralihan kepada tenaga bersih dan persaingan geopolitik global telah menjadikan mineral kritikal aset strategik yang mempengaruhi daya saing ekonomi dan keupayaan teknologi sesebuah negara. Malaysia, yang pernah menjadi antara pengeluar utama bijih timah dunia pada abad ke-19 dan ke-20, kini berpeluang membangunkan industri mineral bernilai tambah tinggi. Tinjauan awal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menganggarkan nilai sumber mineral negara pada RM4.11 trilion.

Malah, negara dianggarkan menyimpan sekitar 16.1 juta tan metrik sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (Non-Radioactive Rare Earth Elements atau NR-REE) bernilai hampir RM1 trilion di samping kajian JMG di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang turut mengenal pasti 274,144 tan sumber unsur nadir bumi di sembilan negeri. Faktor ini sekali gus meletakkan Malaysia di persimpangan kritikal untuk membangunkan rantaian nilai hiliran yang mampan tanpa mengorbankan kelestarian ekologi.

Profil Sumber Mineral Negara

Kekayaan geologi Malaysia terbentuk daripada kepelbagaian formasi batuan igneus, metamorf dan sedimen yang merentasi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Secara amnya, asas sumber mineral negara bernilai RM4.11 trilion dikategorikan kepada tiga kelompok utama iaitu :

Kategori MineralAnggaran NilaiContoh Mineral UtamaPeranan dan Potensi
Mineral Bukan LogamRM2.96 trilionPasir silika, batu kapur, kaolin, lempungPembuatan kaca solar, simen, seramik, bahan binaan dan pengisi industri
Mineral LogamRM1.03 trilionEmas, bijih timah, bauksit, tembaga, besiElektronik, aloi industri, pembinaan, perhiasan dan rantaian bekalan logam
Mineral TenagaRM0.12 trilionArang batu dan sumber tenaga berkaitanSokongan keselamatan tenaga dan peralihan bahan api

Di samping tiga kategori tersebut, NR-REE menjadi tumpuan utama kerana mengandungi unsur seperti neodimium dan praseodimium yang penting dalam pembuatan magnet kekal berprestasi tinggi. Namun fakta penting yang sering terlepas pandang adalah, kira-kira 70 peratus daripada anggaran 16.1 juta tan sumber nadir bumi negara terletak di dalam kawasan hutan simpan kekal dan kawasan sensitif alam sekitar. Hakikat geografi dan perhutanan ini menuntut disiplin perancangan yang jauh lebih berhati-hati berbanding sekadar mengejar angka rizab di atas kertas. 

Kepentingan Strategik dan Hala Tuju NRES

Mineral kritikal dan unsur nadir bumi merupakan komponen asas kepada peralihan tenaga bersih, kenderaan elektrik (EV), turbin angin, sistem penyimpanan tenaga, semikonduktor serta teknologi pertahanan dan aeroangkasa. Melalui Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021–2030 (TIM 2021–2030), kerajaan mensasarkan sumbangan sektor mineral kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada RM29 bilion menjelang tahun 2030.  Di bawah kepimpinan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) iaitu Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, NRES memberi penekanan yang jelas terhadap pembangunan industri secara teratur, bersepadu dan bernilai tambah tinggi. Pendekatan utama yang digerakkan oleh NRES merangkumi:

  • Pengekalan Moratorium Eksport Bahan Mentah REE: Moratorium eksport bahan mentah unsur nadir bumi yang dikuatkuasakan sejak 1
  • Januari 2024 diteruskan bagi tempoh 2025 hingga 2027 bagi mengelakkan negara terus bergantung kepada model eksport bahan mentah tanpa nilai tambah, sambil membuka ruang terhad yang terkawal bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemprosesan yang menyokong rantaian nilai domestik. 
  • Pembangunan Rantaian Nilai Pertengahan dan Hiliran: Malaysia tidak mahu sekadar menjadi pembekal bahan mentah huluan, sebaliknya berusaha menarik pemindahan teknologi dan pelaburan dalam aktiviti pemisahan, penapisan serta pembuatan komponen bernilai tinggi seperti magnet.  
  • Diplomasi dan Kerjasama Antarabangsa: NRES aktif memperkukuh kerjasama dua hala dan minat pelaburan teknikal termasuk perbincangan serta penglibatan bersama Australia, syarikat dari Amerika Syarikat dan kerjasama pemprosesan serta eksport nadir bumi yang dikaitkan dengan Perancis bagi memastikan pembangunan industri mineral disokong oleh kepakaran teknologi dan amalan kelestarian.
  • Tanggungjawab Pemulihan Hutan oleh Kerajaan Negeri: Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut menegaskan bahawa kerajaan negeri mempunyai peranan dan tanggung jawab utama dalam memastikan kawasan hutan yang terlibat dengan aktiviti perlombongan dipulihkan secara sempurna selepas operasi dijalankan.  

Deklarasi Mineral Kritis ASEAN di Manila: Lonjakan Geopolitik Serantau

ASEAN (Association of Southeast Asian Nations) merupakan sebuah pertubuhan geopolitik dan ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 melalui Deklarasi Bangkok oleh lima negara pengasas iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand. Kini, ASEAN dianggotai oleh negara-negara di rantau Asia Tenggara untuk memupuk keamanan serantau, pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial serta kestabilan politik bersama.

Pada 15 November 2026, bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, para pemimpin negara anggota ASEAN telah mengguna pakai Deklarasi Mineral Kritis ASEAN untuk Ketahanan Kawasan dan Pertumbuhan Berkelanjutan (Declaration on ASEAN Critical Minerals for Regional Resilience and Sustainable Growth). Deklarasi ini menandakan titik perubahan penting apabila ASEAN secara kolektif mengangkat mineral kritikal sebagai teras ketahanan ekonomi dan rantaian bekalan serantau.  

Terdapat tiga implikasi utama Deklarasi Manila 15 November 2026 terhadap Malaysia dan rantau Asia Tenggara:

  • Pengiktirafan Kedaulatan Sumber dan Dasar Domestik: Deklarasi ini mengiktiraf hak kedaulatan setiap negara anggota terhadap sumber asli masing-masing sekali gus melindungi dasar kawalan eksport bahan mentah domestik seperti moratorium eksport nadir bumi Malaysia yang bertujuan menggalakkan pemprosesan dalam negara.
  • Komitmen terhadap Strategi Mineral Kritis ASEAN: Negara anggota komited merangka Strategi Mineral Kritis ASEAN bagi memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, mengelakkan kebergantungan berlebihan kepada mana-mana pembekal tunggal serta memposisikan Asia Tenggara sebagai pusat pengeluaran dan pemprosesan mineral yang mampan.

  • Daya Tarikan Pelaburan dan Rantaian Bekalan Global: Penggunaan deklarasi ini selari dengan meningkatnya perhatian kuasa besar global terhadap rantaian bekalan mineral kritikal dan magnet termasuk dalam perbincangan Sidang Kemuncak Khas ASEAN–Amerika Syarikat di Manila selepas itu. Bagi Malaysia, kedudukannya dalam ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor serantau memberi kelebihan tersendiri untuk mengaitkan pemprosesan mineral dengan industri berteknologi tinggi. 

Impak Sosioekonomi dan Alam Sekitar

Dari sudut sosioekonomi, pembangunan sektor mineral yang terancang berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri-negeri di luar Lembah Klang, mewujudkan peluang pekerjaan teknikal dalam bidang geosains, kejuruteraan perlombongan, metalurgi dan pengurusan alam sekitar serta merancakkan ekosistem perkhidmatan sokongan tempatan.

Namun, impak ekologi dan sosial boleh menjadi amat merugikan sekiranya tiada kawalan dan pemantauan ketat gagal dilaksanakan mengakibatkan alam sekitar dan kehidupan masyarakat boleh terjejas teruk sekiranya aktiviti perlombongan tidak dikawal dengan baik. Pengalaman lampau seperti isu perlombongan bauksit di Pahang serta kes penerokaan haram NR-REE di kawasan hutan simpan menunjukkan bahawa kegiatan ekstraktif yang tidak terkawal boleh mencetuskan pelbagai masalah hiliran khususnya kepada sistem ekologi seperti pencemaran sungai, sedimen lumpur, hakisan tanah dan gangguan terhadap habitat hidupan liar serta masyarakat setempat.

Selain itu, kaedah pengekstrakan seperti larut lesap in-situ (in-situ leaching) memerlukan pengurusan larutan kimia dan hidrologi yang ketat agar tidak menjejaskan kualiti air tanah dan kestabilan cerun. Hal ini kerana, walaupun kaedah larut lesap in-situ sering dianggap lebih mesra alam berbanding perlombongan terbuka kerana ia tidak memerlukan penebangan pokok secara besar-besaran atau penggalian lubang besar di permukaan tanah, namun kaedah ini beroperasi di bawah permukaan bumi dan sangat sensitif terhadap keseimbangan kimia serta aliran air bawah tanah. Oleh itu, pemantauan geoteknikal secara berterusan, pembinaan kolam takungan berlapik kalis tiris serta kawalan jumlah suntikan cecair wajib dipatuhi bagi memastikan aktiviti ini tidak mengundang bencana alam atau pencemaran sumber air jangka panjang.

Halangan Utama Sektor Mineral

Walaupun potensi industri mineral Malaysia amat besar, beberapa cabaran struktur masih perlu diatasi secara konsisten, iaitu:

  • Pembahagian Bidang Kuasa Persekutuan dan Negeri

Di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan hal ehwalberkaitanurusan tanah, perhutanan dan pengeluaran lesen cari gali serta pajakan melombong terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan melalui NRES dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bertanggungjawab menggubal dasar nasional, menjalankan penyelidikan geosains serta mengawal selia Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Dikotomi pentadbiran ini mewujudkan jurang pelaksanaan apabila tidak semua kerajaan negeri mempunyai kapasiti teknikal, tenaga pakar geosains atau kelajuan penyelarasan yang sama untuk menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan NR-REE secara seragam.

Keadaan ini menjadi lebih mencabar memandangkan kira-kira 70 peratus daripada sumber NR-REE negara berada di dalam kawasan hutan simpan kekal dan kawasan sensitif alam sekitar yang memerlukan kelulusan ketat daripada pihak berkuasa perhutanan negeri sebelum sebarang aktiviti dapat dijalankan. Perbezaan kapasiti teknikal dan kelajuan penyelarasan antara negeri berpotensi melambatkan pelaksanaan seragam.

  • Ancaman Perlombongan Haram dan Ketirisan Hasil

Lonjakan permintaan global terhadap mineral kritikal telah mendorong peningkatan aktiviti penerokaan haram dan penyeludupan hasil galian yang merugikan negara daripada sudut ekonomi serta ekologi. Sebagai bukti nyata, pendedahan kes penerokaan haram unsur nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah pada tahun 2022 hingga 2023 menunjukkan bagaimana sindiket sanggup menceroboh kawasan hutan simpan dan mengeksport hasil galian tanpa lesen sah sehingga mengakibatkan kerajaan negeri dan Persekutuan kehilangan kutipan royalti bernilai puluhan juta ringgit. Operasi tanpa kawalan seperti ini dijalankan tanpa kelulusan EIA dan tanpa dana pemulihan pasca-perlombongan sekali gus meninggalkan risiko pencemaran ammonia kepada sumber air sungai serta hakisan tanah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan penduduk setempat.

  • Jurang Teknologi Pertengahan (Midstream) dan Modal Intensif

Salah satu halangan paling besar dalam merealisasikan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021–2030 (TIM 2021–2030) ialah penguasaan teknologi pemprosesan pertengahan iaitu proses pengasingan dan penapisan oksida nadir bumi individu seperti neodimium dan praseodimium. Di peringkat global lebih daripada 85 peratus kapasiti penapisan nadir bumi dunia didominasi oleh negara China manakala teknologi pemisahan kimianya sangat kompleks, dikawal ketat sebagai rahsia perdagangan serta memerlukan pelaburan modal awal (CAPEX) mencecah ratusan juta hingga berbilion ringgit bagi setiap loji. Walaupun Malaysia mempunyai kelebihan dalam industri hiliran elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, namun ketiadaan loji penapisan tempatan berskala penuh menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada rakan strategik asing dan pemindahan teknologi antarabangsa bagi melengkapkan rantaian nilai di dalam negara selepas penguatkuasaan moratorium eksport bahan mentah REE sejak 1 Januari 2024. Tanpa pelaburan dan pemindahan teknologi yang kukuh, rantaian nilai pertengahan sukar berkembang secara mampan.

  • Defisit Kepercayaan Awam dan Kelestarian Alam Sekitar Faktor penerimaan sosial atau Social License to Operate (SLO) merupakan prasyarat utama dalam industri ekstraktif moden. Di Malaysia, persepsi masyarakat terhadap industri pemprosesan nadir bumi dan perlombongan mineral masih dibayangi oleh ingatan kolektif terhadap insiden pencemaran alam sekitar pada masa lalu seperti krisis perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang pada tahun 2015–2016 yang mencemarkan sungai dan menjejaskan kesihatan awamnserta isu pelupusan sisa radioaktif rendah (Water Leach Purification – WLP) di Gebeng, Pahang dan tragedi Bukit Merah, Perak pada era 1980-an.

    Walaupun deposit NR-REE di Malaysia bersifat bukan radioaktif dan diekstrak melalui kaedah larut lesap in-situ (ISL) yang tidak memerlukan penggalian terbuka, keraguan awam terhadap ketelusan pemantauan sisa kimia serta risiko pencemaran air bawah tanah kekal tinggi. Tanpa pendedahan data audit alam sekitar secara telus dan pembuktian pematuhan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang ketat, projek mineral berisiko berdepan bantahan masyarakat yang boleh membantutkan keyakinan pelabur. menjadikan ketelusan maklumat serta jaminan keselamatan alam sekitar sebagai syarat mutlak bagi memperoleh penerimaan sosial.

Strategi Menangani dan Melangkah ke Hadapan

Untuk memastikan aset mineral negara bernilai RM4.11 trilion dan rizab unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) berjumlah 16.1 juta tan metrik dapat diterjemah kepada sasaran sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM29 bilion menjelang tahun 2030 menjadi kemakmuran jangka panjang yang lestari, empat langkah strategik wajar diperkukuh:

  • Penyelarasan Tadbir Urus Persekutuan–Negeri dan Jaminan Pemulihan Hutan

Terdapat keperluan menyeragamkan prosedur operasi standard (SOP), syarat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), mekanisme kutipan hasil dan jaminan pemulihan tanah serta hutan pasca-perlombongan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Bagi mengatasi dikotomi bidang kuasa di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, NRES perlu memperkasakan peranan Majlis Mineral Negara (MMN) sebagai badan penyelaras tertinggi untuk memastikan semua negeri mengguna pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE secara seragam.

SOP ini mewajibkan kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pelan pemulihan terperinci sebelum lesen melombong dikeluarkan. Sebagai langkah pengukuhan, NRES di bawah kepimpinan Menteri Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah menekankan tanggungjawab mutlak kerajaan negeri untuk memastikan pemulihan semula kawasan hutan yang terlibat selepas operasi perlombongan tamat. Pelaksanaan ini mesti disokong oleh mekanisme Tabung Pemulihan Bersama (Common Rehabilitation Fund) dan bon jaminan kewangan yang mencukupi daripada pengusaha lombong, memandangkan kira-kira 70 peratus sumber NR-REE negara berada dalam kawasan hutan simpan kekal dan kawasan sensitif alam sekitar.

  • Penguatkuasaan Berteknologi Tinggi dan Sistem Kebolehkesanan (Traceability)

Bagi membanteras ketirisan hasil dan pencerobohan haram seperti yang pernah berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah, penguatkuasaan konvensional perlu dinaik taraf kepada pemantauan digital bersepadu. Agensi seperti JMG, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) wajar memperluas penggunaan imej satelit beresolusi tinggi, teknologi penderiaan jauh (remote sensing) serta dron LiDAR bagi mengesan perubahan litupan kanopi hutan atau pembukaan tapak haram secara masa nyata (real-time). Pada masa yang sama, kerajaan perlu melaksanakan Sistem Kebolehkesanan Mineral Bersepadu berasaskan blockchain dan pensijilan digital yang berupaya menjejak setiap kilogram karbonat nadir bumi (REC) dari telaga pengumpulan hingga ke kilang pemprosesan atau pelabuhan. Langkah ini bukan sahaja menutup ruang penyeludupan selepas penguatkuasaan moratorium eksport bahan mentah REE sejak 1 Januari 2024, malah membuktikan pematuhan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kepada pembeli antarabangsa.

  • Pembangunan Bakat, R&D dan Rantaian Nilai Hiliran Berdaya Saing

Untuk memecahkan jurang teknologi pertengahan (midstream) yang kini dikuasai lebih 85 peratus oleh negara luar, Malaysia mesti memanfaatkan momentum Deklarasi Mineral Kritis ASEAN untuk Ketahanan Kawasan dan Pertumbuhan Berkelanjutan yang dimeterai di Manila pada 15 November 2026. Deklarasi ini menjadi pemangkin kepada diplomasi teknologi dan pelaburan rentas sempadan untuk menarik syarikat berteknologi tinggi termasuk kerjasama dua hala dengan rakan strategik seperti Perancis, Australia dan Amerika Syarikat bagi membina loji pemisahan dan penapisan nadir bumi di dalam negara.

Pada peringkat domestik, dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021–2030 (TIM 2021–2030) perlu disalurkan kepada JMG serta universiti penyelidikan tempatan untuk membangunkan teknologi pengekstrakan dan kitar semula magnet kekal yang lebih hijau. Sinergi ini bakal melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dalam bidang metalurgi, kimia industri dan kejuruteraan geoteknikal sekali gus menghubungkan sektor mineral secara langsung dengan ekosistem semikonduktor dan EV Malaysia.

  • Ketelusan Data Awam dan Perlindungan Mutlak Kawasan Sensitif Membina semula kepercayaan awam (Social License to Operate) selepas insiden pencemaran bauksit di Kuantan pada tahun 2015–2016 serta isu sisa pemprosesan lampau menuntut amalan tadbir urus yang telus dan berpaksikan sains. Kerajaan perlu mengekalkan larangan ketat terhadap sebarang aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan kekal berstatus perlindungan penuh, kawasan tadahan air utama serta zon rizab hidupan liar selaras dengan komitmen negara mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan kawasan berhutan.

    Bagi tapak projek NR-REE yang diluluskan di luar kawasan perlindungan mutlak, pengendali wajib memasang stesen telemetri automatik yang memantau kualiti air sungai, paras ammonia dalam air bawah tanah dan kestabilan cerun secara berterusan. Data pemantauan alam sekitar ini wajar dipaparkan melalui papan pemuka (dashboard) awam yang boleh diakses oleh penduduk setempat, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil bagi memastikan setiap operasi sentiasa berada di bawah pengawasan bersama. Justeru, mengekalkan perlindungan ketat terhadap hutan simpan kekal dan kawasan tadahan air sensitif di samping menyalurkan maklumat pemantauan alam sekitar secara terbuka kepada masyarakat adalah satu keperluan.

Secara keseluruhannya, Malaysia berada pada kedudukan yang strategik dengan asas sumber mineral bernilai RM4.11 trilion serta hala tuju dasar NRES di bawah Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang menekankan nilai tambah serta pemulihan hutan dan sokongan kerangka serantau menerusi Deklarasi Manila 2026. Namun, potensi mega ini hanya akan menjadi rahmat ekonomi yang berkekalan sekiranya Malaysia berjaya merungkai halangan penyelarasan Persekutuan–negeri, menoktahkan penerokaan haram melalui penguatkuasaan digital berteknologi tinggi, merapatkan jurang pemprosesan pertengahan (midstream) serta meletakkan kelestarian ekologi di kawasan hutan simpan dan ketelusan data awam sebagai keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Akhirnya, kejayaan sebenar transformasi industri mineral negara pasca-Deklarasi Manila 2026 bukan sekadar diukur melalui angka pelaburan dan hasil royalti yang dijana tetapi melalui kebijaksanaan Malaysia mengimbangi lonjakan ekonomi hijau dengan amanah memelihara khazanah alam demi kesejahteraan generasi masa hadapan selain mengangkat martabat rantaian nilai teknologi tempatan. 

Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman merupakan Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik & Kewarganegaraan di Institut Pengajian Sains Sosial dan Pakar Governan Alam Sekitar Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia 

Leave a Comment