Kesesakan yang berlaku di beberapa ‘pintu masuk’ ke negeri tertentu bersempena dengan perayaan Aidiladha telah menimbukan keresahan di kalangan rakyat.
Mujur, adanya sekatan jalanraya yang bertindak mengarahkan mereka agar berpatah balik ke lokasi tempat tinggal. Itu pun mewujudkan kebimbangan, samada mereka terus pulang, atau singgah berhenti di mana-mana tempat lantas mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan COVID-19.
Ia menceritakan bagaimana masih terdapat golongan yang degil, hanya mementing diri sendiri di kala ramai yang patuh dalam usaha bersama memerangi COVID-19.
Angka dan fakta tentang pertambahan kluster dan kes selepas perayaan Aidilfitri dan Gawai sebelum ini jelas tidak memberi sebarang pengajaran. Mungkin data-data tersebut sudah dilupakan, tetapi apakah peningkatan kes-kes terbaru tidak langsung memberi amaran kepada mereka?
Kita perlu sentiasa peka dan faham, bahawa negara sedang berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat dengan nyata. Musuh ini tidak hanya berjangkit melalui sentuhan, tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah mutasi COVID-19 berlaku sehingga terdapat laporan yang menyatakan bahawa ia juga bersifat ‘air-borne’, iaitu merebak melalui udara.
Sebuah kisah yang berlaku seperti dibawah, seharusnya menjadi teladan dan peringatan kepada kita semua.
Keluarga saya di Bangi Selangor antara dijangkiti COVID-19 beberapa minggu selepas Aidilfitri lalu. Kelekaan ahli keluarga saya wajar diambil pengajaran serius semua pihak.
Sifat bersangka baik ibu dan ayah yang membenarkan abang sulung menziarahi rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila pada suatu hari abang disahkan positif COVID-19 bersama keluarganya.
Walaupun kebenaran menziarahi atas urusan menguruskan ayah yang menghidap penyakit strok dan abang tinggal berdekatan, malangnya ia mendatangkan risiko cukup besar kepada ibu yang sudah berusia dan ayah yang lumpuh separuh badan.
Selepas disahkan positif, ibu dan ayah dibawa ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan Hospital Sungai Buloh.
Nasib keluarga kami agak baik kerana mereka dibenarkan pulang selepas dua minggu menerima rawatan. Sudah tentu jutaan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih mengizinkan kami memiliki ibu dan ayah walaupun mereka sebelum itu melalui detik getir apabila dikategorikan berada pada tahap 3 dan 4 COVID-19, yang mana memerlukan alat bantuan oksigen.
Walaupun disahkan pulih, kebimbangan terhadap tahap kesihatan mereka masih menghantui kami. Ibu pernah melaporkan keadaannya yang berasa letih ketika melakukan aktiviti tertentu.
Ayah pula banyak menghabiskan masa di bilik tanpa melakukan aktiviti ringan yang biasa dilakukan sebelum disahkan positif COVID-19.
Begitu juga keadaannya dengan abang sulung. Stamina melakukan riadah dikatakan terjejas dan mungkin mengambil masa lama untuk kembali pulih. Kami semua faham ia kesan ‘Long COVID’seperti dilaporkan banyak pihak.
Justeru, berwaspada dalam menguruskan perasaan rindu kepada ibu bapa dan saudara-mara.
Aktiviti kunjung-mengunjung boleh mendatangkan risiko begitu besar kepada ahli keluarga dan masyarakat setempat. Ia bukan suatu yang berasaskan sangkaan, tetapi dibuktikan banyak fakta kes kematian yang berlaku di sekitar kita.
Jika rindu, manfaatkan kemudahan teknologi yang ada masa kini untuk melakukan panggilan video dan buktikan sayang kita kepada mereka dengan mendoakan kesejahteraan mereka di kampung.
Kita semua faham tekanan perasaan rindu dan sayang yang membuak-buak majoriti masyarakat ketika ini. Namun, berwaspadalah supaya ia tidak menjadi faktor kita kehilangan orang tersayang.
Pepatah Melayu yang bijaksana ada menyebutkan, ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.