PELBAGAI isu berkaitan Perlembagaan sentiasa bangkit dan dibangkit, sama ada melalui media massa atau perbincangan awam.
Antara kerap dibangkitkan seperti kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, Islam dan institusi beraja.
Beberapa contoh isu yang menjadi perbahasan masyarakat seperti membabitkan kes Azlina Jailani, Kamariah Ali dan Muhammad Abdullah@Moorthy.
Selain itu, terdapat juga desakan meminda atau memansuhkan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, cadangan penubuhan Interfaith Commission of Malaysia (IFC), penubuhan kumpulan pendesak hak kebebasan beragama dikenali Artikal 11, Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (SUQUI) yang menuntut kedudukan istimewa orang Melayu dikaji semula, beberapa individu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghina Sultan Muhammad V, isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan isu berkaitan bahasa Melayu.
Semua isu ini dapat dielakkan jika masyarakat Malaysia memahami tiga konsep asas yang menjadi tulang belakang kepada Perlembagaan iaitu kontrak sosial, konvensyen Perlembagaan dan diskriminasi perlindungan.
Kontrak sosial adalah persetujuan yang tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sewaktu penggubalan Perlembagaan 1957. Orang bukan Melayu menerima kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pengekalan institusi beraja serta sebagai balasan atas kesanggupan orang Melayu menerima bukan Melayu sebagai warganegara yang mempunyai hak seperti mengundi dan seumpamanya.
Perubahan atau penolakan kontrak sosial tentulah akan menyebabkan situasi kehidupan masyarakat Malaysia tidak begitu harmoni. Namun, setakat mana persetujuan ini boleh diterima generasi muda hari ini yang lahir selepas lebih 65 tahun negara merdeka?
Ini kerana pada peringkat awal, tradisi dan karisma pemimpin dianggap asas kuat untuk membina keabsahan sesuatu undang-undang, tetapi masyarakat moden hari ini memerlukan undang-undang yang berdasarkan rasional selaras perubahan berlaku dalam negara.
Maka, kontrak sosial yang menjadi asas negara pelbagai etnik ini perlu difahami berdasarkan semangat awal sewaktu penggubalan Perlembagaan pada 1957.
Kegagalan melaksanakan kontrak sosial dalam kalangan rakyat adalah punca kepada konflik di beberapa negara dunia. Begitu juga dengan kecenderungan rakyat negara ini yang semakin hilang sifat tolak ansur menyebabkan wujud pemisahan masyarakat mengikut etnik dan agama.
Terdapat kumpulan masyarakat tidak senang hati terhadap layanan istimewa, manakala kumpulan lain melihat layanan istimewa itu hak yang tidak boleh dipersoalkan.
Konvensyen Perlembagaan pula, adalah suatu amalan bukan undang-undang dan lebih mirip kepada etika politik dan tidak boleh dikuat kuasa oleh mahkamah.
Walaupun konvensyen Perlembagaan ini sangat penting, jika amalan ini tidak dipatuhi, maka tidak boleh dibawa perkara ini ke mahkamah untuk dipatuhi dan dilaksanakan. Namun, jika tidak dipatuhi, akan menyebabkan sukar bagi sesuatu Perlembagaan itu hendak berjalan dengan lancar.
Konvensyen Perlembagaan mempunyai peranan yang penting dalam sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Konvensyen ini berasaskan keperluan politik kerana jika tidak dipatuhi akan berlaku kegawatan politik yang tidak diingini.
Jika tidak dipatuhi, mereka yang melanggarnya akan terdedah kepada persepsi negatif orang ramai dan boleh menyebabkan hilang kepercayaan.
Sebagai contoh, Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa pelantikan Perdana Menteri adalah individu yang memenangi pilihan raya dalam Dewan Rakyat dan mendapat sokongan terbanyak ahli Dewan Rakyat.
Tidak dinyatakan keperluan bahawa pelantikan Perdana Menteri mestilah orang Melayu dan beragama Islam seperti pelantikan Menteri Besar bagi negeri yang beraja yang mensyaratkan pelantikan Menteri Besar mestilah orang Melayu dan beragama Islam.
Dalam keadaan sekarang di mana majoriti penduduk Malaysia adalah Melayu dan orang Melayu adalah penduduk asal Tanah Melayu, maka adalah sukar diterima jawatan Perdana Menteri adalah orang bukan Melayu.
Maka konvensyen Perlembagaan ini perlu difahami rakyat Malaysia dengan tidak melihat Perlembagaan dari sudut teknikal undang-undang saja.
Yang ketiga, konsep diskriminasi perlindungan. Diskriminasi ditakrifkan sebagai suatu perlakuan membeza-bezakan dalam suatu hal kerana warna kulit, keturunan dan lain-lain.
Bagi sesebuah negara yang bersifat pelbagai etnik, adalah sesuatu yang biasa kepada mana-mana Perlembagaan bagi sesebuah negara memperuntukkan konsep diskriminasi perlindungan sebagai satu peruntukan penting dan diiktiraf.
Melalui diskriminasi perlindungan ini, undang-undang memberi perlindungan dan hak istimewa kepada golongan atau etnik sesebuah negara dan dalam masa sama tidak menafikan peluang terhadap kumpulan atau etnik lain.
Peruntukan ini disediakan untuk membantu sesuatu etnik dalam beberapa aspek kehidupan seperti perkhidmatan awam, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
Menerusi diskriminasi perlindungan, etnik yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara dapat dibantu dan ditingkatkan taraf hidup mereka supaya dapat menyaingi etnik lain yang lebih terkehadapan.
Ini dilaksanakan dalam beberapa Perlembagaan negara lain di dunia, antaranya seperti Perlembagaan India yang menghendaki kerajaan memberikan perlindungan istimewa untuk kepentingan pelajaran dan ekonomi sesuatu kumpulan yang mundur khususnya ‘kasta yang dijadualkan’ atau ‘puak yang dijadualkan’.
Di Malaysia, konsep ini berlaku dalam beberapa perkara di bawah peruntukan Perlembagaan. Antaranya seperti di bawah peruntukan Perkara 153 yang memberi perlindungan kepada etnik Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Orang Melayu agak ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam pada awal kemerdekaan dan jika tidak dibantu, maka akan mewujudkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat seperti sebab yang membawa kepada Peristiwa 13 Mei 1969.
Orang Melayu yang terhimpit dari segi ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam sukar untuk membangun dan menikmati kekayaan negara serta bersaing dengan etnik bukan Melayu yang lebih ke hadapan dalam arus ekonomi negara jika tidak dibantu.
Justeru, Perlembagaan memperuntukkan Perkara 153 untuk memperbaiki kualiti hidup dari segi ekonomi, sosial dan pendidikan serta perkhidmatan awam kepada etnik Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak yang masih jauh ketinggalan.
Tanpa diskriminasi perlindungan ini, agak sukar etnik yang ketinggalan dari aspek ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam untuk bersaing secara adil.
Maka, tiga konsep asas Perlembagaan ini perlu dihayati agar konflik dan isu yang timbul berkaitan dengan Perlembagaan dapat dihindari, yang kadangkala boleh mengundang perasaan kurang menyenangkan dalam kalangan masyarakat dan mengganggu gugat keharmonian yang wujud selama ini.
Penulis adalah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan), Pusat Pengajian Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)