Tekanan dihadapi perkhidmatan pos kian meningkat susulan ledakan e-dagang

KUALA LUMPUR, 15 Feb — Ledakan e-dagang menjadi satu khabar gembira buat pengguna di seluruh dunia, apa tidaknya, barangan yang mereka inginkan dari benua Eropah contohnya, boleh tiba di hadapan pintu rumah tanpa mereka perlu berada di kedai fizikal.

Begitu juga penjual di kawasan luar bandar yang berurus niaga menerusi platform e-dagang apabila barang atau keluaran mereka boleh menembusi pasaran dan mencapai pengguna di seluruh dunia.

Menurut bank pelaburan, JP Morgan Chase, pasaran e-dagang Malaysia bernilai US$4 bilion dan semakin berkembang pesat, dipacu oleh kadar penembusan Internet yang tinggi dalam negara.

Ketika penjual dan pengguna masing-masing gembira memandangkan barang yang mereka inginkan atau jual kini tidak lagi dikekang oleh sempadan perdagangan.

Namun, kita sering terlepas pandang atau jarang sekali mempedulikan ‘cerita’ di sebaliknya proses penghantaran yang panjang itu, khususnya yang melibatkan kebajikan warga pos yang menghadapi tempoh yang sukar.

Semasa kita membeli-belah dalam talian dan gembira apabila caj penghantaran yang begitu murah, kita sebaliknya tidak menyedari kalangan kakitangan pos mengalami penerimaan bungkusan yang tiada berkesudahan dalam perkhidmatan itu yang terus menawarkan caj paling murah.

Krisis Semakin Memuncak

Inilah yang dialami oleh kalangan warga pos atau perkhidmatan penghantaran di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Baru-baru ini, tular klip video dan gambar pekerja atau sebuah syarikat kurier yang membaling bungkusan pelanggan sambil memekik di sebuah hab pengagihan sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen dan ketidakpuasan hati pengguna yang telah menerima bungkusan dan barang rosak.

Pekerja terbabit dikatakan bertindak sedemikian bagi melepaskan amarah susulan masalah komisen dan gaji.

Insiden itu hangat dibualkan dengan ada pihak berpandangan pekerja berkenaan harus menyalurkan kekecewaan itu menerusi cara yang betul supaya puncanya dapat diselesaikan.

Semasa tempoh sukar dan mencabar ini, tambahan pula dengan pergerakan disekat, menjadikan pembelian secara dalam talian meningkat amat ketara apabila ramai yang membeli hampir setiap barang, daripada pakaian sehinggalah perkakas elektrik, dan semua jenis rempah.

Apabila kita mengklik pada ikon ‘purchase’ atau ‘beli’, kita selalu memilih perkhidmatan kurier yang menawarkan caj penghantaran paling rendah.

Apa yang kita tidak tahu ialah lagi rendah caj atau kadar bayaran penghantaran maka lagi rendah komisen yang dibayar kepada rakan kongsi penghantaran, malah lebih memburukkan, setakat ini tiada harga lantai yang ditetapkan kerajaan bagi perkhidmatan ini di Malaysia.

Ini telah memberi tekanan kepada perkhidmatan pos untuk memastikan perniagaan mereka terus dapat bertahan — keadaan ini bukan sesuatu yang kondusif bagi jangka panjang kerana syarikat sentiasa ditekan untuk menurunkan harga dan ini memaksa mereka menamatkan beberapa faedah pekerja.

Di Malaysia, terdapat 109 pilihan penghantaran termasuk perkhidmatan oleh firma asing seperti DHL dan FedEx; selain syarikat kurier negara, Pos Malaysia, serta peserta persendirian seperti Pgeon. 

Sejak berlakunya pandemik COVID-19, ramai daripada kalangan kita yang tiada pekerjaan, telah menjadi rakan kongsi penghantaran untuk syarikat kurier sekali gus sebagai sebahagian daripada ekonomi gig.

Berdasarkan perangkaan, terdapat kira-kira empat juta peserta ekonomi gig di Malaysia dan jumlah itu semakin meningkat terutama semasa pandemik. 

Selepas kehilangan pendapatan selama berbulan-bulan, rakan kongsi penghantaran ini bekerja setiap hari hanya untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan upah yang tidak seberapa. Ini mewujudkan komuniti guna tenaga yang tidak cekap dan berpendapatan rendah semakin meningkat.

Malah, majoriti mereka tidak mencarum dengan dana pencen, tidak dilindungi di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tidak mempunyai insurans sama sekali.

Guna Tenaga Tidak Penuh – Semakin Membimbangkan

Memandangkan COVID-19 terus mengekang pasaran pekerjaan, guna tenaga tidak penuh menjadi segmen yang terus meningkat sejak bermulanya krisis kesihatan. 

Guna tenaga tidak penuh merujuk kepada keadaan yang mana individu terpaksa bekerja dengan bayaran rendah atau membuat pekerjaan kemahiran rendah berbanding dengan apa yang mereka mampu.

Wujud satu kes, seorang juruterbang terpaksa menjadi rakan kongsi penghantaran selepas syarikat penerbangan yang menjadi majikannya tidak mampu lagi untuk menawarkan banyak penerbangan.

Beliau terpaksa berpuas hati dengan gaji RM3,000 atau kurang untuk sebulan, berbanding dengan gaji beliau sebelum ini yang mencecah RM15,000.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran telah mencapai 4.8 peratus pada Disember 2020 berbanding dengan 4.7 peratus pada November. 

Seorang penganalisis menjangkakan angka itu terus melonjak pada Februari disebabkan pusingan kedua Perintah Kawalan Pergerakan, yang akan menyebabkan lebih banyak perniagaan kecil dan sederhana serta syarikat pelancongan terpaksa gulung tikar.

Ketika bilangan ini terus meningkat, secara tidak langsung angka mereka yang menyertai ekonomi gig juga bertambah meskipun hampir tidak ada sebarang jaringan perlindungan disediakan setakat ini kepada industri ini.

Melindungi Rakan Kongsi Penghantaran

Sejak pandemik ini tercetus, pekerja penghantaran menjadi penghubung demi kegembiraan ramai orang dalam memperoleh apa yang mereka inginkan, sama ada dari jarak dekat atau jauh. 

Justeru, sudah tiba masanya untuk kerajaan, industri dan pihak berkepentingan menetapkan harga lantai bagi sektor penghantaran dalam usaha melindungi kesejahteraan dan kebajikan warga rakan kongsi penghantaran.

Jika kita boleh membayar RM4 minimum untuk satu penghantaran, kita juga boleh menyumbang bukan sahaja dalam usaha memastikan barangan kita dapat dihantar sehingga depan pintu rumah dengan selamat malah rakan kongsi penghantaran memperoleh komisen berpatutan untuk meraih pendapatan yang mencukupi demi keperluan hidup mereka.

— BERNAMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *