Tangan Kanan Memberi, Sorokkan Tangan Kiri?

Seringkali menjadi persoalan, yang manakah lebih afdhal, bersedekah secara terang-terangan, atau secara bersembunyi. Persoalan ini lazimnya berkait rapat dengan persoalan pokok: IKHLAS atau RIYA’?

Sebenarnya, baik bersedekah secara terang-terangan atau tersembunyi adalah dibenarkan. Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 271 yang bererti,

“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan ALLAH akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu; dan ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Maka, bersedekah dengan terbuka tidak menjadi satu kesalahan. Ia sebenarnya mampu memberi motivasi kepada orang lain untuk sama-sama melakukan amalan mulia bersedekah. Amalan sedekah wajib seperti zakat, sebaiknya dipamerkan kepada umum agar dapat mengelakkan fitnah tidak membayar zakat, selain memberi peringatan kepada orang lain agar turut sama melaksanakannya.

Pun begitu, kita juga perlu perhalusi frasa “menyembunyikannya adalah lebih baik”.

Dengan kebenaran untuk melakukan sedekah secara terangan, menyembunyikannya adalah lebih baik. Mengapa?

Di samping dapat mengelakkan riya’, ia sebenarnya bertujuan untuk menutup aib si penerima.  Tidak semua orang mahu meminta-minta, apatah lagi nasib kurang baik dipamerkan di media dengan ‘menerjah’ ke rumah mereka, meskipun keadaan mereka benar-benar memerlukan pertolongan. Ibarat menjatuhkan maruah mereka.

Selain itu, menyembunyikan sedekah dapat mengelakkan fitnah. Pengalaman penulis, melihat bagaimana komen-komen negatif terhadap jiran-jiran si miskin, seolah-olah tiada siapa pedulikan si miskin. Walhal, selama bertahun-tahun jiran-jiran ini membantu dengan ikhlas atas rasa kasihan. Jiran yang baik, tidak akan membuka aib jirannya waima mereka tahu bahawa si miskin itu adalah pemalas, tidak mahu berusaha dan sering meminta-minta.

Inilah bahaya sedekah yang dibuat secara terjah, terangan dan dipamer di media. Niat yang baik, tetapi dihujani sikap-sikap negatif manusia yang menontonnya.

Mungkin inilah apa yang dimaksudkan dengan Kalamullah, agar disembunyikan sedekah itu. Allah maha mengetahui.

Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Bersedekahlah, tangan kanan memberi sorokkan tangan kiri. Derma bukan tontonan, lakukan dalam sepi.

Bagaimanapun, antara ikhlas dan riya’ adalah pekerjaan hati yang amat halus, dan bukan hak manusia untuk menilainya.

Wallahualam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *