Usul ‘bipartisan’ dan rentas parti yang dicadangkan Perdana Menteri menjadi serapah konvensional secara tiba-tiba, dalam usaha untuk memperbetulkan kedudukan kerajaan dalam persepsi politik.
Senario kali ini sangat berbeza dan belum pernah berlaku. Ia bukan persediaan untuk menghadapi pilihan raya, sebaliknya cuma cadangan untuk membentuk kerjasama antara kerajaan dan pembangkang dalam usaha mengurangkan tekanan kepada kerajaan dan politi negara.
Inilah yang digambarkan Perdana Menteri sebagai kerjasama antara parti secara bipartisan. Ia pengakuan terus terang. Bipartisan bermaksud kerjasama antara parti yang prinsip dan dasar mereka saling bertentangan.
Kerjasama itu tidak akan dipertahan lama dan ini diakui sendiri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebaliknya, ia strategi jangka pendek sehingga menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh kira-kira setahun daripada sekarang.
Nilai instrumental (cara atau kaedah) yang dirasionalkan Perdana Menteri adalah menerusi pakatan rentas parti, manakala nilai terminal (matlamat hujungnya) pula digambarkan beliau sebagai kestabilan kerajaan.
Usul itu disanggah banyak pihak. Hampir semua ketua parti – selain Perikatan Nasional (PN) – menyatakan secara terbuka tidak bersedia untuk menerima cadangan Perdana Menteri. Malah ada yang menempelak cadangan itu sebagai sogokan politik secara terbuka.
Usul bipartisan yang dipanjangkan Muhyiddin adalah senario baharu politik tanah air. Ia dianggap interaksi (hubungan) yang diberi corak khusus, iaitu ‘duduk dan kerja bersama’ serta melupakan sebentar perbezaan antara parti.
Selama ini, hubungan antara parti politik di negara ini agak jelas. Parti hanya berpakat untuk menghadapi pilihan raya. Ia bersifat sementara. Sebarang bentuk pakatan terutamanya dalam kalangan pembangkang sentiasa saja rapuh, kerana isu keupayaan untuk bersaing serta tekanan daripada parti kerajaan.
Selepas 1957, hanya tinggal dua parti sosialis iaitu Parti Rakyat Malaya (majoriti Melayu) dan Parti Buruh (majoriti Cina) yang bersekutu di bawah Barisan Sosialis (Parti Sosialis Rakyat Malaya).
Pakatan Persekutuan pula membabitkan UMNO, MCA dan MIC. PAS masih berideologi nasionalis ketika itu. Namun PRU pada 1969 menyaksikan kelainan. Parti majoriti etnik Cina iaitu GERAKAN dan DAP mendapat sokongan kebanyakan pengundi Cina. Sehingga itu, belum ada usaha ke arah pakatan blok pembangkang.
BN menguasai majoriti kerusi Parlimen dalam PRU 1974, 1978, 1982 dan 1986, menundukkan pembangkang utamanya iaitu PAS (sejak 1978) dan DAP.
Sejak 1989-1990, ada cubaan persefahaman dalam kalangan pembangkang, namun semuanya tidak bertahan. Ia dikatakan berpunca daripada perpecahan berasaskan agama dan kaum. Pertentangan politik bertumpu kepada DAP lawan MCA, manakala UMNO lawannya PAS.
Kemudian, ada usaha kerjasama membabitkan Semangat 46, PAS, BERJASA dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Satu lagi pakatan membabitkan Gagasan Rakyat (GR), gabungan Semangat 46, DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF).
Itu semua pakatan untuk pilihan raya. Kali ini, usul persefahaman bertujuan mengelakkan kerajaan daripada gagal berfungsi. Lalu Muhyiddin memilih jalan keluar melalui kompromi.
Joko Widodo atau Jokowi pernah mencuba resipi sama apabila membawa seteru politiknya, Prabowo Subianto menyertai Kabinet Indonesia. Reaksi susulannya berbeza-beza, namun kerajaan Jokowi masih beroperasi dengan baik hingga sekarang.
Untuk berjaya, bipartisan memerlukan fleksibiliti perjuangan parti. Ia membabitkan nyah institusi (deinstitution) parti utama serta melonggarkan prinsip untuk sementara waktu.
Persaingan perlu diredakan sementara waktu. Pertimbangan kaum atau komunal, ideologi dan kepercayaan disenyapkan seketika kerana tumpuan perlu diberikan kepada pencapaian matlamat yang dipersetujui bersama.
Walaupun perjuangan merebut kuasa ini meliputi keseluruhan sistem politik negara, ia turut membabitkan struktur dalaman parti. Ada risikonya kepada negara terutamanya membabitkan elemen dana, media, jentera birokrasi, komunaliti, agama dan reformasi.
Perpecahan yang sedia ada mungkin menjadi tidak terkawal, kesan daripada amalan politik naungan sebagai alat untuk meraih sokongan.
Dengan kata lain, bipartisan dan rentas parti mungkin praktikal dan realistik di peringkat elit politik saja, sama ada peringkat parti mahupun kebangsaan. Di peringkat akar umbi, ia terus menjadi tanda tanya.
Di sisi lain, usul persefahaman itu juga dikhuatiri memberi ruang kepada parti yang besar meluaskan hegemoni (penguasaan) mereka, sekali gus menelan parti kecil yang dianggap tidak relevan.
Usul ‘bipartisan’ dan rentas parti yang dibawakan Perdana Menteri tidak datang secara percuma. Ia bukan pakej muhibah atau kebajikan.
Seperti diumumkan Perdana Menteri, antara lain peruntukan ahli parlimen diberikan sama rata, dana siling COVID-19 ditambah menjadi RM110 bilion, bantuan tunai RM10 bilion diberi kepada 11 juta penerima pada separuh kedua 2021 dan dipanjangkan kepada golongan bersasar miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang hilang pendapatan.
Selain itu, dana Kumpulan Wang COVID-19 untuk insentif pengambilan pekerja dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga ditambah, jawatan Perdana Menteri dihadkan dua penggal, Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti diusulkan, komposisi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) diseimbangkan antara kerajaan dan pembangkang, selain diberikan saraan, kakitangan dan imbuhan.
RUU undi 18 tahun juga diusulkan tanpa pendaftaran automatik, manakala usul RUU pembekalan dibentangkan kepada pembangkang sebelum dibawa ke Parlimen. Ketua Pembangkang juga diberikan saraan dan imbuhan seperti menteri kanan dan komitmen mengadakan PRU-15 selewat-lewatnya hujung Julai 2022.
Kompromi ditawarkan sebagai jalan keluar untuk mengelakkan kerajaan daripada gagal berfungsi susulan keabsahannya dipersoal.
Menjatuhkan kerajaan sekarang memerlukan prosedur khusus, sama ada diselesaikan di Dewan Rakyat ataupun menyerahkan kepada wibawa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Persefahaman ini bukan bertujuan untuk menghadapi pilihan raya. Ia tidak membabitkan soal pencalonan, kebolehsaingan calon, keintiman ideologi sesama parti, keterangkuman rakyat dan sebagainya.
Ia dibuat atas pertimbangan mengekalkan kerajaan sedia ada untuk setahun. Jika tidak, teruskanlah dengan undi kepercayaan di Parlimen dan terima risiko dengan hati terbuka.
Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed adalah Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Sumber: Berita Harian