Menangani pandemik memerlukan pendekatan menyeluruh masyarakat atau whole society approach. Inilah pendekatan disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) kepada semua negara.
Pendekatan ini menekankan kerjasama semua peringkat masyarakat adalah ‘wajib’ dengan kerajaan perlu bertindak sebagai peneraju dan penyelaras efisien tanpa membenarkan campur tangan politik.
Pendekatan sebegini sebenarnya sudah lama dianjurkan kumpulan yang memperjuangkan agenda pembangunan lestari kerana seperti pandemik, isu kelestarian adalah kompleks, menyeluruh dan sangat berhubung kait. Sekiranya ia tidak ditangani dengan cara berbeza, maka sukar untuk mengharapkan hasil berlainan.
Pendekatan sebegini disebut Quadruple Helix dengan empat pihak selaku pelaku kritikal dalam masyarakat – kerajaan, industri, akademia dan komuniti – perlu bekerjasama rapat secara sistematik dan berterusan, bukan atas dasar adhoc atau sekadar atas panggilan mesyuarat.
Tiada satu bidang pengajian atau satu pihak pun boleh menyelesaikan pandemik bersendirian, melainkan semua duduk semeja.
Sistem eksekutif sedia ada dilihat masih bersifat ‘silo’ dalam proses pelaksanaan, terutama apabila isunya bersifat rentas kementerian. Inilah faktor pertama perlu ditangani segera.
Dalam proses penyelesaian ini, tidak dinafikan pihak terbabit sudah mencuba sebaik mungkin seperti saranan WHO.
Namun, pengalaman daripada agenda pembangunan lestari memperlihatkan faktor yang akhirnya sering menjadi penghalang atau menyukarkan penyelesaian dan mengucar-ngacirkan dasar atau cadangan penyelesaian yang sudah dirancang, adalah faktor politik atau ‘politiking.’
Memang diakui ini bukan baharu. Tidak dinafikan juga ini berlaku di negara mana pun, tidak saja unik kepada Malaysia.
Namun dalam ‘peperangan’ menghadapi pandemik, faktor politik menjadi lebih kritikal kerana keadaan sekarang adalah sangat VUCA – volatile (meruap); uncertain (tidak pasti); complex (rumit) dan ambiguos (kabur).
Pandemik adalah pengorbanan. Dasar boleh dipolemik, tetapi jangan dipolitikkan.
Lantas, ia memerlukan penumpuan khusus kepada penyelesaian masalah, bukan persaingan antara ahli politik atau isu tiada koordinasi antara dasar.
Ada dua aspek politik di sini. Pertama, politik ditafsirkan sebagai proses analisis dan pembuatan dasar awam, manakala kedua, politik diertikan sebagai perlakuan ahli politik.
Aspek kedua ini merujuk bagaimana persaingan antara ahli atau parti politik memberikan kesan negatif kepada profesionalisme pelaksanaan dasar yang dibuat untuk menangani COVID-19.
Pengalaman beberapa negara luar dalam menangani pandemik memperlihatkan ada garis pemisah agak jelas antara kedua-dua bentuk politik ini.
Di United Kingdom (UK), Taiwan dan beberapa contoh negara lain, boleh dilihat peranan serta kuasa eksekutif agensi atau badan kerajaan memainkan peranan secara profesional dengan bertindak berdasarkan kepakaran dan bukti terselidik.
Apa yang diketengahkan di media utama atau media sosial adalah keberkesanan dasar dilaksanakan, bukan sekadar melaporkan ahli politik memberikan sumbangan sana-sini – yang kalau mahu diperbuat perbandingan ada banyak badan sukarela yang sudah lama melakukannya dengan sumber mereka sendiri atau sumbangan orang ramai.
Pemerhatian di negara berkenaan juga menunjukkan tidak banyak atau tiada isu kekhilafan pendapat wujud antara satu agensi dengan lain yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Tiada perubahan mendadak atau perbezaan layanan dalam pelaksanaan dasar dipersetujui. Semua rakyat dilayan sama rata tidak kira ahli politik, rakyat biasa atau menteri.
Kejadian di UK misalnya, menteri kesihatannya meletakkan jawatan kerana didapati tidak mengikut peraturan bagi mengawal COVID-19. Ia bukti pelaksanaan dasar menangani pandemik mesti berjalan tanpa mengira pangkat.
Sekali berlaku perbezaan penguatkuasaan, ia menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan dasar diperkenalkan.
Di China misalnya, kekuatan utamanya adalah ada satu arahan atau dasar jelas. Seperti dalam peperangan, sebaik sahaja ada dua arahan, itu membawa petanda wujud perpecahan dalam pasukan dan berisiko menjadi punca kekalahan dalam peperangan berkenaan.
Keadaan sebegini hanya akan berlaku kalau ada pemimpin mengutamakan kepentingan sendiri, yang sepatutnya sejak awal lagi perlu dikenal pasti sama ada mereka ini mempunyai kriteria kepemimpinan diperlukan.
Menghadapi pandemik sama seperti peperangan. Ia memerlukan strategi sangat terancang, bukan sekadar untuk satu pertarungan memberikan vaksin, menurunkan kes atau menyerahkan bantuan makanan, tetapi memenangi peperangan melawan COVID-19.
Dasar akan dilaksanakan sama seperti strategi peperangan, mesti dirancang dengan jelas dan meletakkan hanya kepentingan negara sebagai satu-satunya asas penentu.
Rakyat perlu diberikan kefahaman mendalam dan meluas mengenai trajektori strategi kerajaan untuk keluar daripada pandemik. Mereka perlu diberikan kepastian terhadap peringkat selanjutnya selesai satu peringkat dalam tempoh sesuai, tidak hanya sehari dua sebelumnya.
Selepas lebih setahun melalui ‘peperangan’ ini, sudah sewajarnya kita mempunyai gambaran dan perancangan jelas bukan bertindak mengikut kes atas desakan rakyat, apatah lagi suasana politik semasa.
Ukuran keberkesanan dasar juga perlu dibuka lebih meluas kepada rakyat. Fokus ukuran ketika ini diletakkan kepada berapa jumlah kes sehari.
Namun, pengalaman negara lain seperti UK mengukur keberkesanan dasar kepada keupayaan hospital menangani kes COVID-19 kerana ia lebih menyeluruh dalam membayangkan kesediaan dasar yang ada untuk menangani pandemik.
Proses menangani pandemik ini melalui pelbagai dasar diperkenalkan bukan sekadar isu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau dasar berkesan.
Lebih penting, ia menuntut pengorbanan untuk keluar daripada gaya hidup sebelum ini kepada kehidupan norma baharu. Dasar dirangka dan disusun secantik mana sekalipun, kalau dipolitikkan tidak akan berjaya.
Ringkasnya, pandemik adalah pengorbanan. Dasar boleh dipolemik, tetapi jangan dipolitikkan.
Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Pusat Pengajian Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)