Penantian Seorang Pejuang

“Jika durjana itu balik ke sini sama ada atas nama kebenaran atau tidak, akulah yang akan pergi mengutip nyawanya. Tugas kami belum selesai selagi dia masih bernafas,” getap bibir Pak Tam Ali menahan api kemarahan yang membuak-buak. Selautan air dari Tasik Pedu pun tidak mampu memadamkan api yang masih marak menyala, walaupun cerita itu telah lama berlalu.

Pak Tam Ali bekas Sarjan Mejar Askar Melayu DiRaja. Masih gagah perkasa walaupun sudah menjangkau umur tujuh puluh tahun. Sepanjang hayatnya dalam dunia ketenteraan tugasnya tidak lain dan tidak bukan, memburu musuh-musuh negara yang memperlecehkan kedaulatan bangsa.

“Banyak usiaku dihabiskan untuk memburunya. Ramai syuhada berputih tulang di depan mataku sendiri”.

“Sahabat baikku. Din Gelas terbujur kaku, Man Pisang bercerai kakinya akibat terkena jerangkap samar,” kata Pak Tam Ali mengawal kemarahan. Pak Nyang Nan, Pak Su Awang dan Ca Tok Bari ceria kembali. Mereka tahu muka surat depan akhbar pagi inilah yang membangkitkan kemarahan Pak Tam Ali. Ia ibarat membangunkan harimau yang telah lama tidur. Mengocakkan air yang telah lama tenang.

“Bersabarlah Pak Tam,” kata Ca Tok Bari .

“Itu kehendak orang muda. Mereka tidak pernah dengar cerita lama. Mereka celik mata di zaman IT, bukan macam kita,” Pak Nyang Nan menambah.

“Orang muda apa kejadahnya. Yang membuat kenyataan itu orang tua. Sebaya denganku!,” pedas kata-kata Pak Tam Ali

“Demi politik! Mereka sanggup apa sahaja. Walaupun mengangkat petualang untuk diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Habis tu kami semua ni apa?,”

Pengunjung kedai Kopi Bri Mud mendengar dengan setia luahan rasa pejuang negara yang pernah menggadaikan nyawanya. Apa salahnya mereka memberikan ruang bicara kepada Pak Tam Ali yang dikenali oleh sahabat-sahabatnya dalam Askar Melayu dahulu sebagai Ali Rimau.

“Hidup kami dihabiskan untuk memburu mereka. Mengusir dan menghapuskan ideologinya supaya tidak meresap masuk dan merosakkan akidah. Menjaga kedaulatan negara, mendaulatkan Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” luahan hati Pak Tam Ali dizahirkan melalui kata-kata semangat yang tersusun kemas.

II

“Apa pasal ini hari banyak beli ikan dan sayur?”, tanya seorang peniaga yang datang menjual keperluan harian kepada Kiah dan rakan-rakannya. Mereka adalah isteri kepada anggota-anggota keselamatan yang bertugas di kawasan hitam .

“Hari ini suami kami masuk hutan,” kata Kiah jujur mewakili rakan-rakannya. Mereka terpaksa membeli barang basah yang agak banyak untuk keperluan sepanjang ketiadaan suami.

“Saya faham, itulah nasib satria negara. Mempertahankan kedaulatan negara,” kata penjual ikan penuh simpati .

“Kalau tiada askar, saya pun tak boleh berniaga. Nak bergerak pun tak boleh zaman darurat ni,” sambungnya, meyakinkan.

“Betullah taukey. Kalau tak ada askar, ramai orang hidup susah,” rakan Kiah menambah kata.

Penjual ikan tersenyum mendengar. Wajahnya memperagakan rasa simpati kepada isteri-isteri anggota tentera yang pergi menyahut panggilan jihad. Memperjudikan nasib di perbatasan. Meninggalkan anak yang entah-entah bakal menjadi yatim dan isteri yang bakal menjadi balu.

“Hari ini saya turunkan sedikit harga dan berikan ikan kembung secara percuma. Untuk keluarga pejuang-pejuang ini.”

“Betulkah?,” tanya Kiah keliru dan terharu.

“Apalah yang ada pada sedikit hadiah yang saya berikan ini jika dibandingkan dengan budi dan jasa suami adik dan kakak semua,” kata penjual meyakinkan.

“Berapa hari masuk hutan?,” tanya penjual ikan.

Kiah dan rakan-rakannya kelihatan tidak sabar-sabar hendak menjelaskan keperwiraan suami masing-masing setelah mendapat simpati dan hadiah dari penjual ikan.

“Dua minggu!,” jawab Senah, jiran kepada kelamin Ali Rimau.

“Dia punya abang banyak garang oooo!,” kata Senah lagi.

“Siapa tak kenal Ali Rimau. Banyak komunis telah dihapuskannya,” tambah Che Ani pula menambah hangat perbualan di bawah pohon sena rendang berhampiran pagar kem Askar Melayu.

Kiah terdiam namun mukanya bercahaya. Terasa bangga dengan pengiktirafan rakan-rakannya terhadap keberanian dan kebolehan luar biasa suaminya. Itulah sedikit hiburan dan perangsang semangat isteri-isteri anggota pasukan keselamatan.

III

Api kemarahan Pak Tam Ali masih belum reda lagi walaupun dapat dikawal dengan jiwa pahlawannya yang begitu kental. Balik dari Kedai Kopi Bri Mud itu, Pak Tam Ali pergi menenangkan fikirannya di gelanggang silat yang dibangunkannya sejak dua puluh tahun yang lalu. Ketika ia kembali semula ke kampung halaman selepas tamat perkhidmatan sebagai pejuang negara .

Di bangsal gelanggang itu memori lama Pak Tam Ali datang kembali. Dengan susunan peristiwa yang silih berganti. Masih teringat dengan jelas sehelai kain rentang dengan huruf besar diregangkan di pinggir hutan. Ketika beliau dan platunnya masuk ke kawasan operasi dengan menaiki beberapa buah trak.

“SELAMAT DATANG. BURULAH KAMI DI LUAR. DI DALAM KAMILAH YANG AKAN MEMBURU ANDA SEMUA. HUTAN INI ADALAH KAMPUNG HALAMAN KAMI. SIAPA ALI HARIMAU? DI SINI SEMUA HARIMAU AKAN KAMI MAKAN!!!”, itulah kain rentang yang bertulisan merah bermotif darah menyambut kedatangan mereka ketika melaksanakan sebuah operasi di Kawasan Hutan Simpan Gubir.

Ahli pasukannya memandang sesama sendiri. Kelihatan di wajah masing-masing terzahir api kemarahan, keberanian dan semangat juang yang kental. Kain rentang itu bukan menakutkan, tetapi membangkitkan darah pahlawan yang membuak-buak. Mereka ingin cari pengecut-pengecut itu dan menghancur lumatkan jasadnya dengan muntahan peluru dari M 16 .

Di hutan simpan itulah ramai sahabatnya gugur sebagai syuhada. Sebagai bunga bangsa yang sanggup mengorbankan apa sahaja untuk tanah air yang tercinta. Untuk diwariskan kepada anak cucu yang masih tidak mahu mengerti.

Siulan murai cacing yang gila betina, mengganggu seketika lamunan Pak Tam Ali. Tiba-tiba pintu gelanggang dibuka. Kelibat Mak Kiah menghampirinya dengan sebuah dulang berisi teko dan cawan kopi. Tiada siapa boleh melawan air tangan Mak Kiah membancuh kopi. Ia bukan dari tangan, tetapi dari hati yang tulus ikhlas.

“Kiah, ingat tak lagi kehilangan abang selama tiga bulan di Bukit Hijau dahulu?”, tanya Pak Tam Ali.

Tutur bicaranya lembut sahaja ketika berbicara dengan permaisuri hatinya, yang kesetiaannya tiada tolok bandingan. Perempuan yang sanggup meninggalkan kampung halaman dan kemewahan hidup, demi cinta dan kasih sayang kepada suaminya. Pahlawan negara yang boleh pergi ke alam yang kekal dan abadi pada bila-bila masa sahaja ketika itu. Nyawa mereka semua seperti telur di hujung tanduk.

“Peristiwa itu tak mungkin dapat dilupakan, walaupun jasad sudah dimakan bumi,” balas Mak Kiah.

“Siapa yang abang buru ketika itu?,” Pak Tam Ali menguji memori isteri tercinta.

Belum sempat Mak Kiah menjawab, Pak Tam Ali cepat menunjukkan muka depan akhbar kepada Mak Kiah. Berderau darah Mak Kiah. Semangat srikandinya bangkit kembali, marak menyala setelah lama juga menjadi bara, semenjak keluar dari kem.

“Orang ini hendak dibawa datang ke Malaysia. Untuk dimartabatkan sebagai pejuang kemerdekaan,” getaran kata-kata Pak Tam Ali sudah dimengerti oleh Mak Kiah.

“Bila abang hendak ke sana? Menyelesaikan tugas yang diamanahkan?,” ,

IV

Hanya tujuh orang ketika itu ditugaskan untuk mengintip dan memberi maklumat. Pihak atasannya mendapat maklumat bahawa pertemuan antara ketua komunis dengan orang-orangnya akan berlaku di suatu lokasi di perut Bukit Hijau.

Ali Rimau dan pasukannya terpaksa menanam ke dalam tanah di bawah bukit bekalan makanan yang dibawa kerana mereka menjangkakan hanya sehari dua diperlukan untuk menyelesaikan tugas berkenaan. Makanan dalam tin yang berat itu akan mengganggu tugas-tugas mereka. Mereka perlu mendaki bukit untuk mengintip dari atas.

Selepas berada di atas bukit. Kelihatan di bawah perabung bukit, sebuah kem pengganas yang akan menjadi tempat pertemuan ketua pengganas yang diburu sejak sekian lama. Pergerakan anggota pengganas sangat aktif di kawasan itu. Kelihatan kehadiran pasukan kecil pengganas daripada kawasan lain. Masuk dan berkampung. Namun orang yang ditunggu-tunggu oleh Ali Rimau dan pasukannya tidak juga kunjung tiba.

Mereka menunggu dengan sabar. Setiap pergerakan dibataskan. Hendak buang air pun terpaksa merangkak. Makan minum pun sambil meniarap. Tidur malam bermandikan embun dan hujan. Tiada sebarang api boleh dinyalakan. Setelah hari berganti hari ketua pengganas itu tidak juga kunjung tiba. Bekalan makanan sudah kehabisan. Mereka makan apa sahaja yang ada, yang sempat dibawa sewaktu naik ke bukit itu.

Hari demi hari menunggu menyebabkan Ali Rimau dan rakan-rakan sepasukannya mula kebuluran. Orang yang diintip itu seolah-olah berpesta. Disebabkan simpati kepada pasukannya, Ali Rimau sanggup turun semula ke kaki bukit untuk mengambil makanan yang disimpan di dalam tanah.

Dengan penuh tekad dan keberanian Ali Rimau turun sendirian ke bawah bukit, mengharung segala yang menanti, haiwan liar dan binatang buas langsung tidak dihiraukan. Di pertengahan jalan, terdengar bunyi letupan senjata. Serangan bermula, berlaku tembak menembak. Pasukannya sedang berbalas tembakan dengan musuh.

Ali Rimau terkejut, seakan tidak mampu berbuat apa-apa. Dua jam kemudian irama tembak-menembak berhenti diganti dengan hilai tawa seakan pesta meraikan kemenangan. Dalam kelam kabut serangan, takdirnya, Ali Rimau masih bernafas tapi tersesat di dalam belantara. Dia cuba mencari jalan untuk keluar tapi gagal. Setelah beberapa ketika barulah ditemui oleh sekumpulan orang asli yang mencari akar kayu di tengah belantara Bukit Hijau.

V

Gelanggang tua. Diterangi jamung di empat penjuru. Kelihatan semua anak gelanggang sedang mendengar amanat daripada guru mereka.

“Di belantara Bukit Hijau itulah sahabat-sahabat Pak Tam dikelar hidup-hidup!,” kata Pak Tam Ali tenang.

“Kemaluan mereka dipotong dan digantung. Jasad mereka dipersendakan. Merekalah yang gugur sebagai syuhada dengan wangian dari taman syurga,” Pak Tam Ali tegas.

“Hari ini! Bedebah yang bertanggungjawab itu ingin dibawa datang kembali ke tanah berdaulat ini, oleh orang-orang yang hanya memikirkan untung nasib dalam pentas politik! Untuk diangkat sebagai pejuang sejarah dan pejuang kemerdekaan. Untuk menafikan kami yang berputih tulang menggadai harta dan nyawa demi kedaulatan bumi tercinta ini. Bumi yang diwariskan oleh tok nenek kita, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut,” kata-kata semangat yang lahir dari bibir tua Pak Tam Ali menusuk-nusuk ke jiwa sekalian pendekar muda.

Malam itu bukan seperti malam-malam sebelum ini. Tenaga tua Pak Tam Ali kelihatan telah muda kembali. Tingkahan gendang disambut paluan gong bersulam melodi serunai membangkitkan angin pendekar yang luar biasa.

Getaran tangan Pak Tam Ali tatkala membuka gelanggang begitu garang, seolah petir sabung menyabung.

“Datanglah engkau ke tanah ini. Aku menunggumu dengan semangat Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Bahaman, Datuk Maharajalela dan semuanya. Akan ku ajar kamu semua supaya mengerti. Tentang kedaulatan! Ketaatan dan perjuangan!,” kata-kata Pak Tam Ali di lubuk hatinya yang paling dalam sambil menjiwai tarian hulubalang Melayu zaman berzaman bersama tingkahan irama leluhur yang membawa semangat perang tok nenek.

Irama perang leluhur terus berbunyi dan tidak akan berhenti selagi jiwa hulubalang masih berada di jiwa anak-anak bangsa.

  • Jusnizan Ramli adalah seorang guru di SMK Seri Samudera, Manjung, Perak. Sudah menghasilkan dua antologi cerpen iaitu Hikayat Orang Berbangsa dan Kompilasi Sirih Pinang.

Sumber: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *