Oleh Wan Azrain Adnan
Environmental, Social & Governance (ESG) Index merupakan indeks yang semakin popular yang diguna pakai oleh pelbagai pihak untuk menilai kesesuaian sesuatu pelaburan. Secara ringkasnya, ESG Index merangkumi:
1 Environmental: amalan syarikat mengenai kelestarian alam sekitar
2 Social: amalan syarikat mengenai perkara berkaitan pekerja, pembekal, pengguna dan komuniti setempat
3 Governance: amalan syarikat mengenai perkara seperti – kepimpinan/ pengurusan syarikat, audit & kawalan dalaman, hak pemegang taruh (stakeholders)
Organisasi kewangan global telah mengubal ESG Index tersendiri untuk menilai amalan ESG syarikat, dan seterusnya memberi panduan kepada pelabur. Ini termasuklah FTSE4Good Index, S&P Dow Jones Indices (S&P DJI)ESG Index, MSCI ESG Index.
Tahap pematuhan indeks ESG, ditambah pula dengan penarafan US TIP Report, boleh memberi pelbagai implikasi, termasuklah:
- Pelabur keberatan untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan menyebabkan Malaysia kehilangan Foreign Direct Investment (FDI)
- pelabur asing mengurangkan pelaburan di dalam Bursa Malaysia, serta pegangan saham di dalam syarikat-syarikat Malaysia
- syarikat-syarikat Malaysia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan dana/ pinjaman daripada institusi kewangan
- syarikat-syarikat Malaysia menghadapi kesukaran untuk menjalankan perniagaan, terutamanya di peringkat antarabangsa
Pada tahun 2014, FTSE4Good Bursa Malaysia Index telah dilancarkan, dengan 24 buah syarikat yang layak. Ianya merupakan indeks/ penanda yang diguna-pakai oleh Bursa Malaysia untuk menilai pematuhan ESG syarikat berdasarkan 14 tema, termasuklah – perubahan iklim/ ‘climate change’, anti rasuah, tadbir urus korporat/ corporate governance dan pekerja.
Pada Februari 2021, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia menyatakan bahawa hanya 75 buah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang layak untuk FTSE4Good Bursa Malaysia Index (F4GBM). Ini hanyalah 8% daripada jumlah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia (940 buah syarikat).
Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan bahawa menjelang 2030, KWSP menyasarkan untuk membuat seluruh pelaburannya bersandarkan indeks ESG.
Keputusan ini berasaskan pemerhatian serta analisa yang menunjukkan bahawa syarikat-syarikat yang mematuhi indeks ESG memiliki daya-tahan yang lebih tinggi terhadap pergolakan pasaran.
Secara amnya, para pelabur di seluruh dunia semakin sensitif dan teliti di mana mereka membuat pelaburan. Semakin ramai pelabur menggunakan indeks ESG untuk membuat penilaian seterusnya keputusan pelaburan mereka.
Oleh yang demikian, syarikat-syarikat Malaysia mesti menjurus ke arah pematuhan indeks ESG agar mereka tidak ketinggalan dan tidak mengalami kesukaran untuk menjalankan perniagaan di masa hadapan. Malah pematuhan indeks ESG dapat menjadikan syarikat-syarikat tersebut lebih berdaya-saing.
Sebagai contoh, pada akhir November 2021, syarikat pembuatan terkemuka British, Dyson, dilaporkan telah menamatkan kontrak perniagaan dengan ATA IMS Berhad berkenaan dakwaan isu amalan pekerja. ATA IMS merupakan sebuah syarikat pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik yang tersenarai di Bursa Malaysia. Dalam masa dua hari selepas laporan tersebut, nilai saham ATA IMS telah menjunam melebihi 60%.
Isu utama yang menyebabkan penurunan taraf Malaysia di dalam TIP Report 2021 adalah mengenai pengurusan/ layanan terhadap pekerja asing di Malaysia. Isu tersebut bukanlah satu perkara baru. Ianya telah lama di bangkitkan oleh organisasi antarabangsa dan juga organisasi tempatan. Namun begitu, isu berkenaan berpanjangan tanpa satu penyelesaian yang kekal dan menyeluruh.
Sejak sekian lama, Malaysia meletakkan kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing untuk memacu pertumbuhan ekonomi di dalam pelbagai sektor, termasuklah perladangan, pembuatan/ perkilangan dan pembinaan.
Oleh kerana kepesatan serta kemakmuran ekonomi yang di alami oleh Malaysia, ini telah menarik minat ramai pekerja asing untuk datang ke Malaysia, secara sah dan tidak sah.
Mengikut Malaysian Employers Federation (MEF), merujuk kepada data Employment Insurance System (EIS) pada November 2020, terdapat seramai 1.38 juta pekerja asing yang sah di Malaysia. Pada masa yang sama, anggaran pekerja asing tidak sah di Malaysia adalah seramai tiga kali ganda jumlah pekerja asing yang sah. Ini bermakna jumlah pekerja asing di Malaysia, sah dan tidak sah, adalah melebihi 15% daripada jumlah penduduk Malaysia (32 juta).
Jumlah yang besar ini boleh memberi kesan sosial dan ekonomi yang negatif kepada Malaysia, termasuklah – jenayah, kesihatan awam, aliran keluar wang/ ‘money outflow’.
Walaupun kos untuk menggaji pekerja asing adalah tinggi (dianggarkan antara RM 15,000 – RM 20,000 seorang), syarikat/ majikan dikatakan tiada pilihan. Ini adalah kerana ramai rakyat Malaysia tidak berminat untuk melakukan kerja-kerja 3D, iaitu – Dangerous, Dirty, Difficult. Secara amnya, kerja-kerja 3D di anggap sebagai pekerjaan kelas rendah/ ‘low class’ dan dipandang rendah oleh masyarakat, walaupun ianya mampu memberi gaji yang menarik.
Sebagai contoh, sektor perladangan di Malaysia menggaji ramai pekerja asing. Pandemik Covid-19 telah menyebabkan isu kekurangan pekerja yang serius. Mengikut Malaysian Employers Federation (MEF), sektor perladangan menghadapi kekurangan pekerja seramai 40,000 orang, dan mengalami kerugian sebanyak RM 10 billion pada tahun 2020.
Oleh kerana kekurangan pekerja, syarikat-syarikat kelapa sawit menghadapi pelbagai cabaran yang meruncing, termasuklah:
- tempoh menuai/ harvest kelapa sawit yang lebih lama
- peningkatan serangan penyakit dan makhluk perosak
- menutup tapak semaian
- menangguhkan penanaman semula kelapa sawit Adalah dianggarkan kesan daripada kekurangan pekerja ini akan mengambil masa beberapa tahun untuk di atasi.
Malaysia tidak boleh terus meletakkan kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing untuk menjamin kelestarian ekonomi jangka panjang. Oleh yang demikian, terutamanya kerja-kerja yang melibatkan ramai pekerja asing dan kerja-kerja 3D, mesti di modernisasikan ataupun diautomasikan
selaras dengan agenda IR.4.0 Kerajaan Malaysia.
Syarikat/ Majikan mesti mengambil inisiatif untuk mengguna-pakai teknologi terkini yang dapat
memberi nilai-tambah kepada operasi syarikat, meningkatkan daya-saing syarikat serta pematuhan indeks ESG. Namun begitu, agenda IR.4.0 tidak akan berjaya sekiranya pemegang taruh/ stakeholders masih memiliki pemikiran dan sikap ‘business as usual’ dan ‘the cheapest option is the best solution’.
Justeru itu negeri seperti Sabah yang terlibat di dalam sektor pertanian secara besar-besaran mesti mengambil pendekatan proaktif dan menyeluruh untuk memacu agenda IR.4.0 di dalam sektor pertanian di Sabah. Ini penting agar sektor pertanian di Sabah kekal berdaya-saing dan terus meningkat selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025.
Pada tahun 2019, sektor pertanian menyumbang lebih 15% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)/ ‘GDP’ Sabah. Ianya juga menyediakan sebanyak 26% daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di Sabah. Malah Sabah merupakan penyumbang ke-3 terbesar (~13%) kepada sektor pertanian negara, selepas Sarawak dan Johor. Jumlah keluasan tanaman kelapa sawit di Sabah juga melebihi 25% daripada seluruh keluasan tanaman kelapa sawit Malaysia.
Sektor perladangan di Malaysia telah mula mengguna-pakai teknologi untuk pengurusan serta operasi ladang, termasuklah teknologi dron. Penggunaan teknologi telah dapat sedikit sebanyak membantu operasi ladang untuk kerja-kerja yang lazimnya dilaksanakan oleh tenaga kerja manusia, terutamanya pekerja asing. Ini telah dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja manusia.
Tambahan lagi, penggunaan teknologi juga mampu menarik minat orang muda di Malaysia untuk bekerja di sektor perladangan, jika ianya di gabungkan dengan struktur serta gaji/ insentif kerja yang menarik oleh syarikat/ majikan.
Pada masa yang sama, penggunaan teknologi dapat membantu syarikat menjaga kelestarian alam sekitar. Ini seterusnya dapat meningkatkan pematuhan indeks ESG oleh syarikat dan petani.
Teknologi dron telah diguna-pakai di dalam sektor padi di merata tempat di Malaysia untuk beberapa aktiviti pertanian seperti – penyeburan racun dan pembajaan. Penggunaan teknologi dron telah dapat memberi pelbagai manfaat, termasuklah:
- mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia
- mengurangkan pendedahan manusia/ petani kepada racun
- menjimatkan masa
- mengurangkan kos
- meningkatkan kelestarian alam sekitar
Sebagai contoh, sebelum ini, para petani menggunakan alat mist blower untuk aktiviti penyemburan racun, yang memerlukan 200-liter campuran air dan racun, untuk satu hektar sawah padi. Apabila menggunakan teknologi dron untuk penyemburan racun, hanya 24-liter campuran air dan racun diperlukan untuk satu hektar sawah padi. Ini merupakan penjimatan air hampir 90%!.
Berdasarkan keluasan sawah padi Sabah sebanyak 35,000 hektar, penjimatan air melebihi 52 juta liter dapat dicapai setiap tahun. Ini bersamaan dengan 105 juta botol air mineral 500ml.
Sektor kelapa sawit juga telah mula menggunakan teknologi dron untuk aktiviti penyemburan racun dan analisa data untuk kiraan pokok kelapa sawit. Ianya mampu menikmati manfaat yang di capai oleh sektor padi.
Oleh yang demikian, amalan ESG seharusnya diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pemegang taruh/ stakeholders. Kerajaan, syarikat serta masyarakat mesti menerapkan amalan ESG di dalam polisi, budaya kerja dan gaya hidup masakini. Aktiviti pendidikan untuk memberi maklumat dan kesedaran perlu di pertingkatkan. Pada masa yang sama, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan mestilah di perkasakan, dengan mengguna-pakai teknologi terkini.
*Penulis pernah berkhidmat di sektor awam dan swasta. Kini menerajui sebuah syarikat teknologi.