Kenapa Masjid Ditutup, Dan Kilang Tidak?

“Kilang boleh buka, kenapa masjid tidak boleh pula” – begitulah perbandingan yang sinonim digunakan bagi dalam usaha untuk menjustifikasi tindakan kerajaan yang mengarahkan penutupan kebanyakkan masjid dan surau pada era pandemik ini.

Lazimnya kita mengetahui, umat Islam di negara sudah sebati beribadah di masjid-masjid dan surau-surau. Untuk makluman, bukan sahaja masjid dan surau, malah rumah ibadat seperti kuil dan tokong juga terpaksa berhadapan dengan prosedur operasi standard yang sama.

Pertama, keputusan menutup sementara masjid dan surau telah disepakati oleh para mufti; alim ulama yang mempunyai latar belakang ilmu yang pelbagai. Sudah tentu apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berdasarkan landasan ilmu yang menyeluruh sebelum mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kedua, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk mentaati pemerintah, selagi mana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” –

Surah al-Nisa’ (59).

Ibn Kathir dalam menjelaskan ayat ini menyebut bahawa Ulil Amri mencakupi umara’ (pemerintah) dan juga ulama’ (ahli ilmu agama).

Apa yang diperintahkan oleh pemerintah, biasanya ia akan terkait dan terikat dengan maslahat. Tanpa maslahat, ia tidak akan dilakukan seperti itu oleh mana-mana pemerintah, lebih-lebih lagi yang bersifat kepedulian terhadap kemaslahatan rakyat. Maka maslahat yang terwujud dalam isu Perintah Kawalan Pergerakan ini tidak lain adalah bagi mengekang penularan wabak COVID-19 kerana ia termasuk dalam kes berjangkit sekiranya tiada kawalan intensif terhadap sekatan penyebaran virus.

Ketiga, secara logik. semua fungsi masjid atau surau, boleh dipindahkan ke rumah sedangkan fungsi kilang atau tempat kerja tidak boleh dipindahkan ke rumah. Mungkin ada sebagian kecil tugas yang boleh dilakukan di rumah; ‘work from home’, tetapi kebanyakkannya memerlukan keberadaan fizikal si pelaku di tempat kerja. Ibadah harian; solat, zikir, mengaji Al-Quran dan seumpamanya boleh sahaja di lakukan di rumah.

Justeru, keputusan telah diambil bagi mengawal pergerakan agar penyakit atau wabak ini tidak tersebar sekaligus memelihara nama baik Islam itu sendiri daripada dipersalahkan sekiranya masjid dan surau menjadi punca tempat jangkitan wabak.

Teruskan mematuhi SOP, dan perbanyakkan berdoa agar kita dapat bersama-sama memakmurkan masjid dan surau apabila kerajaan mencapai ‘herd immunity” nanti. Semoga COVID-19 berlalu pergi.

#KitaMestiMenang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *