Kestabilan politik adalah kunci bagi sesebuah negara bagi mencipta ketenteraman kehidupan rakyat. Ia memberi momentum kepada kemajuan dan pembangunan negara.
Kestabilan politik pernah dinikmati Malaysia suatu ketika dahulu, yang menyaksikan negara kita berjaya di aras yang berbeza berbanding negara-negara jiran.
Badai politik yang melanda negara ketika ini semakin mengganas, apabila wujud gerakan mendakwa Perdana Menteri sudah hilang majoriti, tamsilan kepada cita-cita untuk menjatuhkannya. Pada ketika inilah konsep keabsahan meniti di bibir dan minda rakyat Malaysia.
Apa itu keabsahan?
Keabsahan dapat ditakrifkan sebagai situasi di mana rakyat berpendapat bahawa kerajaan dilantik ada hak untuk memerintah dan dipatuhi. Ianya berteraskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.
Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, rakyat berhak memilih parti politik atau pimpinan melalui sistem pilihanraya, yang pada hemat mereka, layak untuk menerajui negara.
Keupayaan kerajaan untuk mentadbir dengan baik atau tidak, yang akhirnya menjadi punca kepada kayu pengukur kepada keabsahan kerajaan di mata rakyat. Di sini jugalah, kebijaksanaan pembangkang diperlukan untuk memanipulasi atau mendesak, agar keabsahan tersebut dipertikaikan rakyat.
Selepas kalah Perang Dunia Kedua, kerajaan di Jerman Barat yang ditubuhkan pada 1949, pada awalnya memiliki keabsahan rendah. Namun, dengan pemerintahan dan dasar yang bagus, kepercayaan rakyat diraih memperlihatkan keabsahan kerajaan melonjak ke paras membanggakan.
Sebaliknya, apa yang berlaku di negara-negara pasca era Arab Spring, yang menyaksikan penderitaan rakyat tidak terperi berbanding kehidupan mereka sebelum itu. Perlu diakui, ianya hasil keberkesanan pembangkang yang berjaya meletakkan keabsahan negara tersebut di poin paling rendah di mata rakyat, lantas terjadilah pemberontakan.
Mujur, rakyat negara ini berpegang teguh kepada satu pinsipnya; Keluhuran Undang-Undang.
Realitinya tanpa keabsahan, kerajaan akan menjadi lemah dan rakyat tidak akan patuh kepada undang-undang negara kerana merasakan kerajaan yang ada tidak suci dan korup.
Tidak dapat dinafikan, polemik yang wujud akibat dari pandemik COVID-19 memberi ruang dan peluang kepada ahli politik. Hal inilah yang kita lihat, polemik tersebut dipolitikkan.
Kemelut politik yang melanda, di samping angka kes COVID-19 yang membimbangkan, wujudlah apa yang dipanggil keabsahan; aras keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Pada ketika pandemik ini, adalah sangat tidak bijak mengukur keabsahan kerajaan melalui pilihanraya. Pilihan yang ada tentunya melalui undi percaya (atau undi tidak percaya) terhadap Perdana Menteri dan kerajaan samada masih mendapat kepercayaan atau tidak untuk terus mentadbir negara.
Dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, sidang Parlimen pada September nanti akan menjadi saksi, samada Perdana Menteri masih memiliki keabsahan untuk terus mengepalai kerajaan atau tidak. Jika tidak, bersedialah dengan calon Perdana Menteri baharu.
Kekusutan politik di Perak tahun lalu menyaksikan Menteri Besar telah ditukar, akibat dari jumlah undi percaya tidak menyebelahi beliau.