Sama ada kebetulan atau berkaitan dengan laporan Agenda Massa – Pelan 5G negara diancam kabinet, selasa lalu, – kertas perubahan dasar model Digital Nasional Berhad (DNB) dalam pelaksanaan spektrum internet rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) di negara ini ditangguhkan dari pembentangan kabinet.
Menurut sumber, kertas kabinet yang bakal dibentangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Mac ini dijangka akan mencadangkan pemansuhan peranan DNB sebagai penyedia infra 5G tunggal di negara ini.
Dalam model DNB, syarikat berkaitan kerajaan ini bertanggungjawab menyediakan infra 5G di seluruh negara bagi kegunaan semua syarikat telekomunikasi (telco) dengan kaedah pelaksanaan berasaskan Single Wholesale Network (SWN). Dalam model ini semua Telco akan membayar harga yang sama bagi mendapat laluan 5G.
Tujuan model ini adalah untuk mengurangkan kos pembinaan infra 5G oleh setiap Telco, mempercepatkan liputan 5G di seluruh negara dan menjamin pengguna mendapat kualiti perkhidmatan 5G yang hampir sama.
DNB dilaksanakan setelah mengambil kira beberapa kelemahan dalam pelaksanaan 4G. Liputan 4G tidak menyeluruh kerana telco lebih menumpukan peningkatan infra di kawasan bandar dan menyebabkan kerajaan terpaksa masuk campur dan menyediakan puluhan bilion melalui Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi menaikkan taraf rangkaian 4G di luar bandar.
Melalui DNB dengan kerjasama Ericcson, hampir 80% penduduk negara ini akan mendapat liputan 5G menjelang tahun 2024 iaitu 3 tahun selepas pelaksanaannya.
Kos penyediaan infra 4G negara sebelum ini mencecah puluhan bilion berikutan tindakan telco membangunkan infra sendiri. Ini belum dikira peruntukan oleh kerajaan Persekutuan sendiri pelan Jendela setelah telco gagal memberi liputan 4G menyeluruh ke seluruh negara.
Tidak pasti apa perubahan yang bakal dibuat, namun jangkaan industri ialah kerajaan akan kembali kepada model pelaksanaan 4G membenarkan telco menaik taraf dan membina infra sendiri.