Ogos yang disambut sebagai Bulan Kemerdekaan adalah masa untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa memaparkan semangat patriotik serta kasih sayang terhadap negara.
Bukan dengan cara paksaan, tetapi sukarela menyambut Hari Kemerdekaan sebagai negara merdeka dan berdaulat. Sungguhpun negara dilanda pandemik COVID-19, saya percaya ia tidak merencatkan sambutan Hari Kemerdekaan.
Pada ketika negara merayakan 64 tahun kemerdekaan, sesuailah masanya untuk seluruh rakyat menunjukkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara dengan perasaan penuh bangga.
Menyemai kebanggaan pada bendera antara satu ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan jalur Gemilang sebagai bendera kebangsaan kerana ia lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara yang dapat membantu usaha ke arah mempromosi dan mengukuhkan lagi proses pembinaan negara yang berbilang kaum, agama dan budaya ini.
Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriorisme. Lantas, penting untuk kita menanam semangat dan nilai nasionalisme dan patriotisme ini dalam kalangan generasi muda
Antara cara menjadikan generasi muda patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah mendidik mereka menghormati serta mencintai bendera.
Menganjurkan kempen ‘Cintakan Bendera Kita’ di sekolah, dalam kalangan anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman mengenai kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.
Ini tidak seharusnya diadakan hanya bersempena sambutan Hari Kemerdekaan, malah sepanjang tahun.
Bagi generasi tua, Hari Kebangsaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang dicapai selama ini.
Bagaimanapun, kajian dijalankan akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.
Bagi mereka, Hari Kemerdekaan hanyalah satu cuti umum – hari di mana mereka berpeluang bersantai dan beriadah. Hanya segelintir benar-benar memahami maksud Hari Kemerdekaan ini.
Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka, menghargai serta menghayati erti sebenar Hari Kemerdekaan.
Selepas memperkatakan mengenai bendera kebangsaan dan pentingnya sebagai simbol negara, mengibar Jalur Gemilang bukan satu-satunya cara menunjukkan semangat patriotik kepada negara.
Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik mereka dalam kehidupan seharian seumpamanya, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan mereka dalam membela dan mempertahankan kepentingan negara.
Rakyat Malaysia juga boleh mempamerkan semangat patriotik mereka dengan menyumbangkan pandangan dan pendapat dalam apa yang mereka rasakan baik dan sihat untuk negara.
Menyatakan perasaan melalui saluran betul satu hak yang seharusnya diamalkan semua rakyat Malaysia yang patriotik, cintakan kepada negara dan inginkan yang terbaik untuk negara.
Dalam pada kita memperingati 64 tahun kemerdekaan, kita hendaklah mengimbas kembali segala usaha dalam pembinaan negara pada zaman silam dan bersedia mengharungi cabaran mendatang.
Rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama berlainan, seharusnya memperbaharui azam mereka untuk membina sebuah negara harmoni, bersatu padu dan progresif yang boleh menjadi kemerdekaan kita bersama.
Hari Kemerdekaan sepatutnya menjadi tenaga perpaduan yang boleh membawa rakyat berbilang kaum bersatu padu ke aras satu matlamat dan bagi merealisasikan aspirasi dan harapan yang diidam-idamkan.
Tan Sri Lee Lam Thye,
Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia