DAR ES SALAAM (Tanzania) – Penyertaan dua rakyat Malaysia dalam kem finswimming di bawah World Confederation of Underwater Activities (CMAS) bukan sahaja menggegarkan peserta beberapa negara Afrika Timur malah mereka secara langsung muncul sebagai perintis kepada sukan berkenaan di Malaysia.
Laungan dari jurulatih finswimming dunia yang menganjurkan kem berkenaan sepanjang latihan itu, turut menggelar dua rakyat Malaysia berkenaan sebagai Malaysian Tigers (Harimau Malaysia).
Malah, sepanjang kem intensif tujuh hari itu turut kedengaran laungan dalam bahasa ‘swahili’ iaitu ‘Malaysian Tigers…Mambo’ (Harimau Malaysia, adakah anda baik/OK!?)
Jawapan kuat sepanjang latihan dari dua rakyat Malaysia itu…..’Poa’ (baik/OK).
Berbalik kepada kem berkenaan, sukan dunia finswimming jarang didengari kerana ia mungkin hanya terdapat di beberapa negara sahaja.
Ustaz Muhamad Abdullah dan penulis menjadi dua peserta kem finswimming di bawah World Confederation of Underwater Activities (CMAS) di Tanzania baru-baru ini.
Finswimming bolehlah digambarkan sebagai aktiviti ekstrem yang memerlukan keberanian, kemahiran, daya lasak dan sebagainya kerana ia menggabungkan freedive dan renang.
Boleh dikatakan, di Malaysia sendiri belum ada mana-mana atlet yang menerima latihan secara rasmi dikendalikan oleh jurulatih CMAS.
Namun kini, finswimming sudah mula bertapak di Malaysia apabila penceramah agama bertauliah, Ustaz Muhamad Abdullah yang juga Ketua Pengarah Selam Skuba IANTD dan PADI bersama penulis secara kebetulan berkesempatan menyertai kem latihan asas finswimming yang dikendalikan oleh bekas naib juara dunia finswimming di bawah CMAS.
Para peserta kem finswimming di bawah World Confederation of Underwater Activities (CMAS) di Tanzania baru-baru ini.
Kem latihan di Universiti Dar Es Salaam, Tanzania itu turut melibatkan peserta dari Tanzania sendiri, Kenya, Malaysia, Zambia dan Uganda.
Muhamad dan penulis yang secara kebetulan dalam misi kemanusian di Asia Barat mendapat jemputan rasmi daripada penganjur untuk menyertai kem finswimming berkenaan.
Selain kelas teori, para peserta yang pada mulanya seramai 40 orang perlu menjalani latihan finswimming di kolam renang sepanjang kursus berlangsung.
Jurulatih finswimming di bawah CMAS yang juga bekas Naib Juara Dunia, Rubes Levada ketika ditemu ramah memberitahu, penganjuran kem finswimming diadakan mengikut zon atau benua tertentu setiap tahun atau mengikut penganjuran.
“Kem kali ini diadakan untuk negara-negara blok Afrika Timur, namun saya berbangga kerana dua wakil Malaysia dapat turut serta.
“Ini pertama kali rakyat Malaysia menjalani latihan finswimming dengan tauliah daripada CMAS,” katanya.
Rubes berkata, setiap tahun finswimming akan menganjurkan pertandingan peringkat dunia mengikut negara-negara yang menjadi ahli di bawah sukan tersebut.
Jelasnya, jika peserta dapat menguasai finswimming, ia sebenarnya menggabungkan antara freedive dan renang.
“Dari gabungkan dua sukan ini, kita berjaya membuktikan bahawa terdapat atlet renang yang mampu berenang lebih pantas serta memangi pingat emas setelah mahir dalam finswimming,” katanya.
Rubes berharap, dengan penyertai dua rakya Malaysia itu, satu pertubuhan, persatuan atau kesatuan finswimming dapat ditubuhkan di Malaysia.
“Harapan saya, persatuan, pertubuhan atau kesatuan itu dikendalikan oleh mereka yang pernah menjalaini latihan dalam finswimming dan diiktiraf oleh CMAS dan ia tidak ditubuhkan demi kepentingan diri atau politik.
“Ini kerana, finswimming adalah sukan dunia dan menjadi harapan saya dan CMAS, penyertaan dua wakil Malaysia itu menjadi perintis untuk Malaysia menganjurkan pertandingan finswimming sama ada di peringkat negeri, nasional, Asia Pasifik mahu pun dunia,” katanya yang merupakan Naib Juara Duna Finswimming pada tahun 1998 di Colombia.
Penyertaan kem latihan finswimming di Tanzania itu pada mulanya melibatkan 40 peserta selama tujuh hari.
Latihan intensif dari sehari ke sehari itu benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental peserta di samping memerlukan stamina yang tinggi.
Setelah beberapa hari berlangsung, daripada 40 peserta itu, jumlah peserta ke peringkat lanjutan (advance) berkurangan berdasarkan kemampuan serta kebolehan yang dipantau oleh Rubes.
Yang menarik, Muhamad bersama penulis berjaya menempatkan diri dalam sembilan peserta terakhir peringkat lanjutan hingga hari terakhir kem latihan tersebut.
“Memang penat serta mencabar. Ia latihan yang menguji stamina hinggakan berat badan saya boleh turun empat hingga lima kilogram dalam masa seminggu,” kata Muhamad.
Harapan Muhamad, finswimming dapat menjadi antara sukan diminati ramai di Malaysia dengan penganjuran peringkat dunia.
“Dari kem latihan di Tanzania ini, saya harap dapat melatih pula rakan-rakan di Malaysia dalam finswimming serta memperkembangkan lagi sukan berkenaan.
“Ini sukan yang menarik kerana ia dapat meningkatkan lagi stamina kita dalam sukan air,” katanya.- MalaysiaGazette
- Amir Sarifudin merupakan bekas wartawan kanan Utusan Malaysia dan peminat sukan selam.