COVID-19: CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG

Oleh : Sarfarizmal Bin Md Saad

JUJUR sepenuhnya kita katakan, hujung tahun 2019 sehingga awal tahun 2020, kita semua termasuk Kerajaan Malaysia waktu itu agak skeptikal dengan virus tak nampak coronavirus versi baharu yang digelar 2019-nCoV ini.

Pada waktu itu, para pemimpin negara masih membenarkan aktiviti harian berjalan seperti kebiasaan, termasuklah kedatangan individu dari negara luar.

Akibatnya, pada 4 Februari 2020 kita dimaklumkan bahawa seorang rakyat Malaysia pertama berusia 41 tahun telah disahkan positif virus maut tersebut.

Menurut Menteri Kesihatan pada waktu itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, lelaki terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura, dari 16 hingga 22 Januari 2020 bagi menghadiri mesyuarat bersama delegasi antarabangsa termasuk China.

Lelaki berkenaan kemudian pulang ke Malaysia pada 23 Januari 2020, sebelum mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta di Selangor, enam hari berikutnya kerana demam dan batuk.

Pada waktu itu, jumlah keseluruhan kes positif 2019-nCoV telah mencecah sebanyak 10 kes, manakala kes disyaki (PUI) ialah 213 kes.

Itu adalah permulaan kepada peningkatan kes 2019-nCoV yang selepas itu digelar Covid-19 dan diklasifikasikan sebagai ‘pandemik’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sejurus selepas itu, situasi politik tanah air bergolak seketika sehingga mengakibatkan Kerajaan Malaysia bertukar tangan dengan perlantikan Perdana Menteri baharu.

Semenjak 1 Mac 2020 iaitu tarikh Perdana Menteri kelapan mengangkat sumpah, Kerajaan Malaysia sentiasa mencari solusi terbaik untuk menghalang virus berkenaan terus menjangkiti penduduk di negara ini.

Antara agenda terbesar dan berkesan yang diambil kerajaan untuk mengurangkan kadar jangkitan virus itu ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 dengan melibatkan semua negeri dalam Malaysia.

Ia dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967.

Selepas hampir dua bulan, bermula 13 Mei 2020, kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dimana banyak sektor kerajaan dan perniagaan dibuka seperti biasa.

Apabila keadaan bertambah baik, kerajaan menambah kelonggaran pergerakan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun 2020 sebelum pada 13 Januari 2021, kerajaan kembali melaksanakan PKP di beberapa kawasan tertentu akibat berlakunya peningkatan kes yang mendadak.

Sejak awal lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) enggan hanya bergantung harap kepada pelaksanaan PKP semata-mata, sebaliknya kerajaan melalui KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sibuk mencari penawar virus ini.

Akhirnya rundingan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 telah digerakkan dengan peruntukan kewangan yang cukup besar.

Vaksin Covid-19 tiba

Akhirnya pada 21 Februari 2021, vaksin Covid-19 pertama selamat tiba ke negara kita. Untuk vaksin sulung ini, kita menerima daripada Pfizer-BioNTech yang diterbangkan khas menggunakan pesawat MH604 dengan hiasan ‘livery’ Jalur Gemilang.

Jam 10.07 pagi hari Ahad akan terus terpahat dalam lensa sejarah negara kita apabila sebanyak 312,390 dos vaksin Covid-19 itu selamat mendarat di bumi bertuah ini. Ia sudah semestinya saat ditunggu-tunggu oleh jutaan warga negara kita.

Manakala bermula petang Rabu, 24 Februari 2021, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa pertama bermula dengan rasminya apabila Perdana Menteri menjadi orang pertama menerima vaksin diikuti pula oleh pasukan barisan hadapan (frontliners) yang lain.

Pada hari kedua pula, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba menjadi penerima kumpulan kedua bersama-sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan barisan frontliners.

Juga berlaku secara serentak di beberapa negeri lain, termasuk Selangor, beberapa pemimpin Kerajaan Pusat dan Negeri turut mendapat suntikan yang sama pada hari yang sama.

Ia sebagai sebuah lambang bagaimana kita mahu membuktikan kepada khlayak umum bahawa vaksin ini selamat untuk dicucuk oleh kita semua.

Pada tanggal 27 Februari 2021 pula, sebanyak 200 liter vaksin Covid-19 dari syarikat farmaseutikal di Beijing, Sinovac Biotech yang diuruskan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd telah tiba di Malaysia dengan selamat.

Vaksin Covid-19 Sinovac itu diangkut menggunakan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) iaitu pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo, boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.

Sebaik pintu kargo pesawat dibuka, envirotainer iaitu bekas khas yang mengandungi vaksin jenis Sinovac dan berkemampuan mengekalkan suhu kandungan antara 2 ke 8 darjah Celsius itu dibawa turun menggunakan jumbo container pallet loader sebelum dipindahkan ke dolly dan dibawa ke kawasan i-Secure.

Semua ini bagi menjayakan sebuah misi besar negara dalam menjayakan PICK.

PICK boleh berjaya

Program imunisasi ini hanya akan berjaya apabila seramai mungkin penduduk Malaysia mengambil vaksin ini. Hanya menerusi penglibatan menyeluruh barulah kita mampu menamatkan pandemik Covid-19 yang telah menghantui kita lebih dari setahun lamanya.

Jika kita mahu menjadi pemenang dan mengalahkan virus maut itu, imunisasi kelompok harus diwujudkan dengan menjangkau kiraan 70 peratus dari populasi yang ada dalam negara kita.

Inilah pentingnya untuk semua rakyat Malaysia dan warga asing yang berada dalam negara ini untuk menyertai PICK ini dan menjadi sebahagian daripada mereka yang menerima suntikan vaksin tersebut. Jika tidak, kita akan terus gagal dalam melawan musuh nombor satu negara dikala ini.

Apabila imunisasi kelompok telah mencapai 70 peratus atau lebih, maka kehidupan kita akan masuk ke lembaran baharu. Pada waktu itu, sudah pasti pelbagai sekatan pergerakan akan dikurangkan, Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak lagi seperti sekarang, dan mungkin kita akan rindui istilah Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.

Semua ini adalah situasi positif. Sektor ekonomi yang menjadi mangsa paling teruk akibat serangan virus maut ini akan kembali berkembang sedikit demi sedikit. Sudah pasti pada waktu itu, pelbagai jenis sektor ekonomi akan diizinkan beroperasi dengan lebih meluas dan rancak.

Perkembangan ini juga akan membolehkan kadar pengangguran dalam negara kita dapat dikecilkan, malah rakyat kita juga dapat memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan taraf pendidikan dan pengalaman mereka masing-masing.

Seperkara lagi, sektor pendidikan juga akan kembali aktif dengan proses pemindahan dan percambahan ilmu yang sihat dan lebih mudah. Tidak lagi timbul isu-isu berbangkit seperti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti capaian internet yang lemah, kekangan gajet yang sesuai dan pengurusan masa yang tidak seimbang.

Bermula dari tadika sehingga ke institut pengajian tinggi (IPT), masing-masing sudah boleh melaksanakan PdP mereka dengan lebih baik, normal dan seperti norma lama.

Inilah yang cukup diharapkan dan dinantikan oleh para pendidik serta mereka yang menuntut ilmu secara medium rasmi mahupun tidak. Masing-masing mahu hadir ke kelas dan bertentang mata dengan guru/pensyarah/tenaga pengajar kerana ia jauh lebih berkesan berbanding menggunakan skrin gajet atau televisyen.

Bukan terpakai kepada sekolah, pusat latihan dan IPT sahaja, sesi pembelajaran agama di surau dan masjid juga akan lebih subur selepas ini. Jemaah sudah boleh dibenarkan untuk hadir memenuhkan saf masjid dan surau untuk solat jemaah dan sesi kuliah agama seperti dahulu kala.

Senario ini akan mekar subur dan berlaku di sana sini dengan penuh meriah dan mencipta sebuah lembaran baharu dalam kehidupan kita. Ia bagaikan sebuah ‘kelahiran semula’ apabila masing-masing dapat kembali ke norma lama yang telah menjadi rutin dan ‘habitat’ kita semua sebelum tahun 2020.

Cukuplah hanya dua tahun iaitu 2020 hingga 2021 sahaja kita terpaksa hidup dalam keadaan norma baharu dan patuh terhadap SOP yang ketat serta pelbagai bentuk. Ayuhlah kita sama-sama berazam bermula tahun 2022 nanti, negara kita dapat kembali ke norma lama yang merancakkan sektor ekonomi, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

Kita boleh menang!

Pun begitu, kita tidak boleh ‘mencipta’ kebebasan penuh walaupun sudah ada imuniti kelompok. Pasti juga kita memerlukan kebergantungan terhadap SOP tertentu demi mengekalkan kadar jangkitan virus yang rendah dalam kalangan kita. Namun, yang pasti SOP selepas terbentuknya imuniti kelompok itu tidaklah seketat ketika kita berada pada zon merah Covid-19.

Ayuhlah semua penduduk di Malaysia, inilah masanya untuk kita bersama-sama mematuhi agenda-agenda yang ditetapkan kerajaan, khususnya melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) negara.

Yakinilah bahawa para pemimpin kita mampu membawa kita menang melawan virus maut ini dengan kerjasama dan sokongan kita semua selaku penduduk di negara tercinta ini.

*Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam majalah Agenda Massa Jun 2021. Bagi yang berminat mendapatkan majalah ini boleh dibeli melalui shoppe.: https://shopee.com.my/Majalah-Agenda-Massa-i.188667516.6191377001

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *