ADA yang masih menantikan giliran untuk menerima vaksin Covid-19 walaupun sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera sejak Mac lalu.
Namun, sebaliknya ada pula tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditetapkan selepas mendapat slot janji temu suntikan vaksin.
Perkara ini tidak boleh dipandang mudah apabila ramai tidak memaklumkan sebarang alasan kepada PPV atas ketidakhadiran mereka.
Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Rosliza Abdul Manaf berkata, tidak hadir ke janji temu di PPV adalah perkara yang mendukacitakan.
Menurut Rosliza, sekiranya perkara ini masih berterusan, ia boleh memberi kesan kepada rantaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).https://d62345d90fa5d4683c114096f042c25d.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html
“Untuk menangani isu ketidakhadiran di PPV, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal pasti punca mereka tidak hadir .
“Ada beberapa kemungkinan yang boleh dikaitkan dengan masalah ini (ketidakhadiran di PPV) iaitu waktu janji temu sama dengan waktu bekerja.
“Mungkin juga kerana mereka terlepas pandang dan tidak menyemak aplikasi MySejahtera,” katanya.
Rosliza berkata, namun begitu, tidak dinafikan ada segelintir yang enggan hadir ke PPV kerana masih ragu-ragu dengan vaksin Covid-19, sama ada berkesan atau sebaliknya.
“Untuk golongan ini, perkara paling penting ialah meyakinkan mereka mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksinasi.
“Berikan mereka penjelasan bahawa manfaat suntikan vaksin Covid-19 ini lebih besar berbanding risikonya,” katanya.
Rosliza berkata, jika melihat teori tingkah laku, untuk individu itu merubah tingkah laku kepada kesihatan yang lebih baik, semua ini perlu dikenalkan pasti supaya penyelesaian tepat dapat dilakukan.
“Seterusnya mereka boleh hadir ke PPV untuk mengambil suntikan vaksin.
“Perkara pertama ialah mereka perlu yakin jangkitan Covid adalah sangat bahaya.
“Kedua, mereka perlu yakin yang mereka boleh mendapat jangkitan, begitu juga dengan individu lain.
“Ketiga, vaksin Covid-19 adalah ikhtiar yang paling baik untuk melawan virus ini. Seterusnya, mereka perlu dipermudahkan kaedah untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya.
Kata Rosliza, bagi individu yang masih ragu dengan vaksin Covid-19, mereka perlu dibantu dengan diberikan maklumat betul supaya keyakinan mereka meningkat hingga bersedia untuk divaksin.
“Satu cara lain yang boleh digunakan ialah menggunakan individu berpengaruh seperti ahli keluarga, ketua komuniti dan agamawan.
“Di klinik kesihatan, ada panel penasihat kesihatan dan mereka juga boleh membantu memberikan maklumat yang betul bagi meningkatkan kesedaran untuk hadir ke PPV,” katanya.
Menurut Rosliza, sekiranya individu berkaitan menggunakan alasan takut jarum suntikan menyebabkan tidak hadir ke PPV, perkara ini perlu diberikan perhatian.
“Ia boleh diatasi melalui cara mengetengahkan perkongsian pengalaman individu yang sudah menerima suntikan vaksin.
“Maklumat ini (perkongsian pengalaman) tidak sampai kepada semua individu,” katanya.
Jelasnya, Pick dilaksanakan untuk mencapai 80 peratus rakyat mendapat suntikan vaksin Covid-19.
“Apabila peratusan ini dalam komuniti dapat dicapai maka imuniti kelompak juga dapat dicapai.
“Oleh itu, jangkitan tidak akan merebak terlalu pantas. Pada masa sama, kelompok yang tidak boleh menerima suntikan vaksin Covid-19 iaitu individu mempunyai masalah kesihatan serta kanak-kanak dapat dilindungi,” katanya.
Rosliza berkata, kerajaan juga mempunyai strategi yang baik dalam melaksanakan Pick bagi memastikan program ini berjalan sempurna.
“Pick dilakukan dalam tiga fasa iaitu barisan hadapan, warga emas dan golongan berusia 18 tahun ke atas.
“Keutamaan Pick adalah golongan berisiko iaitu warga emas dan mereka yang ada penyakit kronik untuk mengurangkan kesan serta bilangan pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
“Sekiranya mereka dijangkiti, risiko menjadi lebih teruk dan kadar kematian adalah tinggi,” katanya.
Menyentuh dos diperlukan untuk vaksin seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, katanya, pada masa ini, semuanya memerlukan dua dos supaya ia boleh mencapai keberkesanan yang tinggi.
“Apabila hanya mengambil satu dos, ia sudah boleh membina antibodi, tetapi belum cukup untuk melindungi diri pada tahap terbaik.
“Untuk mencapai imuniti kelompok, setiap individu perlu mengambil dua suntikan dan sekurang-kurangnya 80 peratus masyarakat menerima dos yang lengkap,” katanya.
Berdasarkan statistik perkembangan Pick, setakat 23 Jun, 15,654,020 orang mendaftar untuk program berkenaan manakala 4,574,685 orang sudah divaksinasi.
Selain itu, Rosliza berkata, ramai meminta supaya proses pendaftaran vaksin dipermudahkan terutama golongan yang tidak dapat mengakses telefon pintar bagi tujuan pendaftaran.
“Saya juga bersetuju sekiranya dapat mempelbagaikan kaedah pendaftaran vaksinasi.
“Di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), mereka memang mempunyai perancangan ke arah itu melalui beberapa inisiatif seperti pemberian vaksin tanpa pendaftaran di aplikasi MySejahtera dan kaunter pandu lalu.
“Dalam pada mahu memudahkan pemberian vaksinasi ini, perlu diketahui bahawa penjagaan suhu vaksin adalah agak rumit,” katanya.
Kata Rosliza, vaksin memerlukan rangkaian penjagaan suhu yang teliti merangkumi semua proses iaitu penyimpanan, pengangkutan ke tempat pemberian vaksin dan seterusnya penyediaan akhir sebelum ia disuntik kepada penerima.
“Rangkaian suhu vaksin perlu diurus dan dikawal dengan baik bagi memastikan keberkesanannya sentiasa terjamin.
“Ini faktor yang perlu dititikberatkan dalam usaha mahu memudah dan mempercepatkan pemberian vaksin kepada masyarakat,” katanya.
Harian Metro