Sektor kesihatan negara semakin terbeban, lebih-lebih lagi dengan angka jangkitan harian yang semakin meningkat. Terkini, angka jangkitan dilapor sudah melepasi 17,000 kes sehari.
Pasti dalam situasi sebegini khidmat petugas kesihatan amat diperlukan sebagai sandaran utama untuk mendepani cabaran pandemik.
Paling penting, untuk mengelak sistem kesihatan negara daripada lumpuh seperti pernah dialami beberapa negara.
Namun, wajarkah sekiranya segelintir petugas kesihatan tiba-tiba memilih untuk berhimpun melakukan bantahan – walaupun secara aman – ketika keadaan sektor berkenaan benar-benar teruji?
Realitinya, tindakan sebegini memberi gambaran kurang elok kepada umum mengenai sektor kesihatan negara. Lebih teruk, persepsi takut dan bimbang mungkin tercetus pada mata masyarakat, kononnya doktor sudah tidak lagi mahu bekerja.
Ini semua perlu diambil kira dan dielak sama sekali kerana berisiko merumitkan situasi ketika keadaan sudah pun sedia terbeban. Ketika ini pun, pelbagai mesej tular khususnya di media sosial mengenai sektor kesihatan yang kekurangan fasiliti dan tenaga pakar untuk mendepani pandemik.
Perlu diingat, demonstrasi bukanlah budaya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian. Tindakan sebegitu juga bukan jalan penyelesaian, termasuk dalam isu membabitkan doktor kontrak ini.
Dalam kaedah maqasid syariah Islam sendiri, menjaga nyawa adalah paling utama. Tindakan dilakukan kelompok doktor kontrak itu kelmarin lebih kepada memudaratkan nyawa pesakit, terutama ketika berdepan pandemik.
Menghentikan kerja walaupun dalam jangka waktu singkat bukan tindakan rasional, malah memudaratkan perkhidmatan perubatan dan pesakit.
Secara peribadi, saya bersama rakan pengamal perubatan di Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) mempunyai pendirian cukup jelas dalam isu membabitkan doktor kontrak ini.
Kami menyokong perjuangan mereka kerana sebagai pengamal perubatan, kami sedar apa yang dilalui mereka saban hari. Namun, untuk bertindak seperti semalam, ia bukanlah suatu tindakan yang dianggap wajar lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik yang memuncak.
Perlu diingat, dalam apa perjuangan sekalipun, amat sukar untuk mendapat semua yang dituntut, sekali gus dalam satu masa. Dalam isu diperjuangkan doktor kontrak ini, kerajaan sendiri sudah pun bertolak ansur dan ia dilihat boleh diterima. Jadi, kenapa masih perlu bersikap ‘menentang’ atau ‘memberontak’?
Saya percaya, kerajaan tak akan sesekali memandang remeh setiap tuntutan dibuat. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah mengumumkan lanjutan kontrak dua tahun untuk kelompok doktor kontrak ini.
Perlu diingat, lantikan tetap seperti dituntut itu bukan semudah boleh ditunaikan sehari dua. Ia membabitkan banyak perkara seperti soal perjawatan, kos dan pindaan Akta Pencen 1980. Saya percaya itu semua dalam perkiraan kerajaan.
Malah, seperti dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, petugas kontrak juga akan dibenar menyambung pengajian sarjana sementara menunggu pindaan dilakukan. Bukankah ia satu perkembangan baik?
Jadi, nasihat saya, apa yang diberi dan ditawarkan kerajaan sekarang, seeloknya diterima dahulu kerana satu toleransi yang cukup baik, manakala selebihnya boleh dituntut kemudian.
PERDIM percaya, apa sahaja permasalahannya boleh diselesaikan dengan jalan perbincangan dan kami sedia membantu mempermudahkan urusan tuntutan serta memperjuangkan kebajikan doktor kontrak ini secara bersama.
Jika ditelusuri sejarah, isu membabitkan doktor kontrak ini bukan perjuangan pertama. Sejarah memperjuangkan elaun on-call atau atas panggilan untuk pegawai perubatan pada 1992 sebagai contoh, wajar dijadikan panduan.
Perancangan teliti dan perbincangan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan kerajaan ketika itu, membuahkan hasil sehingga pegawai perubatan diberikan hak mendapat elaun yang dinafikan sekian lama.
Pengajaran harus diambil bahawa penyelesaian boleh dibuat melalui perbincangan. Kerajaan sendiri sudah pun memberikan respon cukup positif dengan langkah terkandung dalam kenyataan Perdana Menteri, Jumaat lalu.
Malah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan timbalannya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, masing-masing adalah pengamal perubatan dan semestinya isu membabitkan tuntutan doktor kontrak ini amat sensitif dan dekat di hati mereka.
Dari segi moral juga, Islam melihat kontrak sebagai ikatan janji yang wajib dilaksanakan. Jadi, selagi kontrak masih berlaku, segala tugas diamanahkan mesti dilakukan. Tidak boleh menghentikan kerja untuk melakukan bantahan dalam waktu bertugas.
Seseorang hanya boleh berhenti memberikan perkhidmatan selepas menamatkan kontrak dan aku janji.
Dari segi kedudukan pegawai kontrak, jika ini dilaksanakan dikhuatiri memudaratkan mereka. Ada kemungkinan mereka kehilangan jawatan dan bakal berdepan tindakan undang-undang.
Bagi pegawai perubatan yang berkhidmat kurang dua tahun pula, risiko menunggu termasuk mungkin kehilangan hak untuk mendapat lesen Perakuan Amalan Tahunan. Ini perlu dielakkan.
Ringkasnya, PERDIM bertegas dengan pendirian bahawa berkumpul mengemukakan bantahan tidak sesuai dilakukan, sebaliknya pentas perbincangan lebih wajar dijadikan pilihan sesuai dengan profesion kedoktoran yang berstatus profesional.
Kami percaya ramai di luar sana simpati dengan nasib menimpa doktor kontrak ini, lebih-lebih lagi selepas mengenangkan beban yang terpaksa ditanggung petugas kesihatan yang menjadi sebahagian tenaga barisan hadapan ketika mendepani pandemik.
Namun, apabila mereka sanggup berhimpun sebegini – walaupun objektif mereka untuk tarik perhatian dan meraih simpati – keadaan sudah pun bertukar menjadi sebaliknya.
Kita khuatir rakyat menjadi marah dan melihat mereka sebagai individualistik atau pentingkan diri sendiri, lebih-lebih lagi dalam waktu amat mendesak kini, di mana ramai lagi kini hilang kerja dan sukar mencari makan akibat pandemik.
Inikah persepsi yang ingin kita lihat dan bina dalam profesion kedoktoran?
Penulis adalah Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM)
Sumber – Berita Harian