Oleh: Irwan Muhammad Zain
EMPAT tahun lalu, tidak siapa menduga sebuah drama yang mempunyai unsur komedi akan menjadi. Tetapi sejarah membuktikan, drama Pok Ya Cong Codei (PYCC) arahan seniman Sabri Yunus mendapat sambutan dan meniti di bibir masyarakat.
PYCC ditayangkan di Astro Citra pada 20 Januari 2018. Watak utama, Pok Ya – seorang gedebe dari Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk melaksanakan tugas mencari anak seorang Datuk yang kononnya dilarikan lelaki – dilakonkan oleh Sabri sendiri.
Di Kelantan, watak seperti Pok Ya itu memang wujud malah perkataan ‘Cong Codei’ pernah menjadi bualan masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang satu masa dahulu.
PYCC tular dan popular hingga ada peminat-peminat yang menghasilkan lukisan watak utama tersebut. Himpunan karya-karya peminat PYCC itu kemudiannya dibukukan oleh Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBM) dengan judul Pok Ya Cong Codei (Kompilasi Fan Art).
Bukan setakat itu, ada juga yang menghasilkan kemeja-T dengan wajah PYCC untuk dijual dan seterusnya dimiliki oleh peminat drama tersebut. Sudah agak lama sebuah drama atau filem dihargai peminat seperti itu.
Itulah kelebihan PYCC, sebuah drama antiklise berkaitan gengster Malaysia. “PYCC adalah sebuah filem yang tidak dibuat-buat,” kata pengarah tersohor, U-Wei Haji Saari. Ia bukan komedi tetapi sebuah drama yang mempunyai sense of humor.
Filem-filem gengster yang dihasilkan di negara ini selalunya merupakan gambaran palsu yang direka tentang dunia kongsi gelap dan samseng.
Kata U-Wei lagi, menerusi PYCC, Sabri telah memberi nafas baru kepada drama tempatan ketika mana banyak pengarah dan penerbit lebih suka kepada kisah cinta dan kehidupan orang kaya yang tidak berpijak di bumi nyata.
Artikel penuh dalam majalah Agenda Massa keluaran Mei 2022, halaman 36-39. Dapatkan Agenda Massa di Shopee atau kedai buku terpilih.