PRN Melaka: Bukti Rakyat Yakin Konsep “Keluarga Malaysia”

Menang 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, setelah hanya memenangi 13 kerusi pada PRU yang lalu menunjukkan peningkatan ketara akan kepercayaan rakyat Melaka terhadap Barisan Nasional.

Faktor utama yang mungkin menjadi penilaian rakyat ialah, apakah yang mampu ditawarkan oleh Barisan Nasional, berbanding Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional.
Umumnya tahu, kestabilan adalah kata kunci yang ditawarkan oleh Barisan Nasional. Dan selama puluhan tahun diberi mandat, itulah yang telah dibuktikan, berkali-kali sehingga membawa kemakmuran negara.

Hanya selepas jawatan perdana menteri bertukar untuk kali ke-3, barulah Ahli Parlimen dari Barisan Nasional kembali memimpin negara walaupun atas persepakatan Perikatan Nasional. Sekali lagi, kestabilan politik dan ekonomi yang sinonim dengan Barisan Nasional menjadi teras utama YAB Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri melalui konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Pada ketika negara berlawan dengan pandemik COVID-19, Perdana Menteri memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia’, satu usaha bersepadu bersifat inklusif, makmur dan mampan bagi memulihkan negara pasca pandemik COVID-19.

Menurut Felow Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berpendapat konsep Keluarga Malaysia merupakan pendekatan yang mudah diterima kerana mengetengahkan unsur kekeluargaan yang sangat dekat di hati rakyat. Konsep ini umpama “penyejuk” dalam mencari kesamaan dan penyatuan rakyat untuk bangkit memulihkan negara yang berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi ekoran dari pandemik COVID-19.

Dengan konsep yang merentasi etnik dan agama, seluruh rakyat dapat melihat bagaimana seorang perdana menteri dari Barisan Nasional mahukan kebersamaan dalam melalui saat-saat getir, dan bukannya saling bercakaran atau bermain politik tanpa henti. Slogan “Bekerja bersama rakyat” sudah cukup untuk menceritakan betapa rakyat didahulukan.

Tidak hanya sekadar retorik, kesungguhan Perdana Menteri diterjemahkan ke ‘blueprint’ apabila Rancangan Malaysia ke-12 dirangka dengan mengambil pendekatan atau konsep “Keluarga Malaysia”. Selaras dengan itu, Kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif pemulihan negara. Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima peruntukan kira-kira RM2.7 bilion bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif mendokong kesejahteraan rakyat pasca COVID-19.

Selain itu, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dengan nilai RM20 bilion, dengan suntikan fiskal baharu oleh Kerajaan berjumlah RM11 bilion bakal melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

Dari kaca mata rakyat, rakyat didahulukan. Inilah yang dirindui apatah lagi dalam keadaan negara kini yang berhadapan dengan pandemik, aspirasi dan rekod Barisan Nasional mengepalai negara tidak lagi mahu disia-siakan. Keberadaan pimpinan Barisan Nasional di dalam kerajaan perlu dipertahankan. Ini lah yang telah diterjemahkan oleh pengundi-pengundi Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini.

Kesungguhan Perdana Menteri dan menteri-menteri dari Barisan Nasional khususnya bekerja demi rakyat dan keengganan mereka ‘berpolitik 24 jam sehari’ adalah bukti bahawa kestabilan negara menjadi agenda penting untuk pemulihan negara.

Untuk rekod, rakyat sudah merasai tawaran yang diberikan oleh Pakatan Harapan setelah PH menang pada PRU yang lalu. Rakyat sendiri sudah tahu yang mana intan, yang mana kaca.

Kini, Perdana Menteri adalah dari parti yang terbukti membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada negara sejak Merdeka dan Melaka memilih Barisan Nasional.

Kejayaan Barisan Nasional di Melaka berdasarkan beberapa faktor. Namun, menafikan keberadaan ahli parlimen Barisan Nasional sebagai Perdana Menteri dan menteri-menteri di dalam kerajaan serta dasar-dasar mesra rakyatnya tidak tergolong di dalam faktor tersebut ibarat menafikan wujudnya bulan dan bintang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *