TALIBAN kembali menjadi sohor kini (trending) di seluruh dunia setelah kembali menawan Kabul, ibu negara Afghanistan beberapa hari lalu.
Ini berlaku berikutan arahan Presiden Joe Biden yang menarik balik semua tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas 20 tahun ‘berkampung’ di Afghanistan.
Siapa Taliban? Benarkah sejak dulu lagi merupakan musuh nombor satu AS?
Taliban sebenarnya kumpulan pelampau ternakan AS yang berlindung di sebalik nama jihad. AS membiayai kumpulan pelampau ini di segi kewangan dan peralatan ketenteraan.
AS mahu Taliban menguasai sepenuhnya Afghanistan supaya projek paip minyak dan gas dari Laut Caspian ke Barat menjadi kenyataan.
Tanpa menguasai kerajaan Afghanistan, AS berdepan kesukaran untuk menjadikan projek saluran minyak merentas negara itu menjadi kenyatan. AS hanya mempunyai tiga pilihan – merentas Rusia, Iran dan Afghanistan.
Untuk merentas Iran adalah suatu yang sukar kerana AS sudah kehilangan pengaruh selepas tumbangnya Shah dalam revolusi Islam 1979.
Merentas Rusia adalah suatu yang mustahil kerana kemuncak Perang Dingin. Pilihan terbaik adalah merentas Afghanistan tetapi dengan syarat negara itu aman dan stabil politiknya.
Selepas menang dalam perang saudara pasca Kesatuan Soviet, Taliban menjadi harapan utama AS untuk menjayakan saluran minyak itu.
Taliban dilihat sebagai aset penting untuk menstabilkan negara itu. Keamanan itu membolehkan kerajaan membuat keputusan membenarkan saluran minyak dan gas merentas negara berkenaan.
Bagaimanapun kestabilan yang diharapkan AS tidak berlaku. Sebagai pilihan AS mengarahkan Taliban berunding dengan puak-puak bertelagah untuk mewujudkan kerajaan campuran. Ini juga gagal dilaksanakan.
Selepas inilah AS mula mengugut Taliban dengan memberi kata dua – “Sama ada menerima tawaran permaidani emas daripada kami atau kamu dikuburkan di bawah permaidani bom.”
Ini berlaku pada akhir Julai 2001 kira-kira dua bulan sebelum tragedi 11 September 2001.
Tidak sampai dua bulan selepas tragedi itu, AS melancarkan serangan ke atas Afghanistan dengan mencanang Taliban dan Al Qaeda bertanggungjawab terhadap peristiwa berkenaan.
Pengerusi Central Asia – Caucasus Institute, Profesor S. Frederick Starr dalam di akhbar The Washington Post pada 19 Disember 2000 iaitu sebelum tragedi itu menulis, “Secara diam-diam AS mulai menyesuaikan diri dengan cara pemerintah Rusia dengan menyerukan tindakan ketenteraan terhadap Afghanistan dan telah bermain dengan idea serangan baharu untuk menghapuskan Osama bin Laden.”
Maknanya serangan untuk menghapuskan Taliban dan Al Qaeda dirancang sebelum serangan 11 September 2001 lagi.
Kalau kita menoleh jauh sebelum itu, campur tangan AS terhadap Afghanistan bermula sejak akhir 1970-an, ketika negara itu dikuasai oleh kerajaan berhaluan kiri. Penasihat Presiden Jimmy Carter, Zbigniew Brzeziski mencadangkan supaya AS membantu dan melatih kumpulan Mujahidin. Ini bertujuan memberi tekanan kepada Kesatuan Soviet yang menawan Afghanistan pada 1978.
Sepanjang kerjasama itu, AS melalui CIA menyalurkan dana tidak kurang AS$2 bilion. Ini termasuk membekalkan peluru berpandu Stringer yang mampu menjatuhkan kapalterbang dan helikopter tentera Kesatuan Soviet.
Tidak cukup itu, kilang propaganda di Hollywood diarah menerbitkan filem Rambo III yang didedikasi khusus kepada pejuang Mujahidin.
Kalau dilihat kembali, sebaik sahaja AS menjajah Afghanistan, Hamid Karzai orang kepercayaan CIA dilantik Perdana Menteri pada Disember 2001.
Hamid diyakini boleh membantu AS kerana pengaruhnya di Unocal, sebuah syarikat petroleum terbesar AS yang merancang projek mega saluran paip minyak merentas Afganistan.
Selepas kecewa dengan kegagalan Taliban menzahirkan kestabilan, tidak lama selepas melantik Hamid, Bush menghantar penasihat syarikat Unocal, Zalmay Khalizad sebagai duta khas ke Afghanistan. Tugas penting Hamid dan Khalilzad tidak lain menjadikan projek paip minyak dan gas itu satu kenyataan.
Siapa Al Qaeda? Siapa Osama Ben Laden? Pada tahun 1988 Osama Ben Laden pemimpin Al Qaeda paling digeruni di Barat. Bagaimanapun CIA melihat Osama dan Al Qaeda sebagai aset berharga untuk menjayakan beberapa misi sulit tanpa mengotorkan nama AS.
Ketika meletusnya perang saudara di Yugoslavia (1992-1995) Pentagon membawa ribuan pejuang Al Qaeda ke Bosnia membantu pejuang Islam di sana. Dalam perang melawan Yugoslavia pada 1999 pula Al Qaeda diarahkan membantu KLA (Kosovo Liberation Army) yang berjuang untuk memisahkan Kosovo dari Yoguslavia dengan perlindungan tentera NATO.
Kerjsama Bush dengan Al Qaeda boleh disaksikan menerusi filem dokumentari Fahrenheit 9/11 arahan Michael Moore. Filem ini mendedahkan secara rinci pakatan sulit Osama dengan Bush. Tetapi AS sangat licik, selepas Osama tidak digunakan lagi namanya dikaitkan dengan serangan 11 September 2001 dan Bush menjadi pejuang keamanan.
Presiden Barack Obama juga bertenggek atas nama Osama untuk meraih keuntungan politik. Pada era pentadbiran Obama, dia mendakwa berjaya membunuh Osama dan mayatnya dibuang di laut. Bagaimanapun seluruh dunia mempersoalkan bukti kematian Osama yang tidak dapat diberikan oleh Obama. Maka jangan percaya Osama sudah mati.
Afghanistan yang menjadi medan perang paling lama dalam sejarah AS ini menelan belanja yang besar. Menurut laporan The New York Times, AS menyalurkan belanja tidak kurang AS$2,000 bilion atau AS$100 bilion setahun. Jumlah itu adalah 20 kali ganda belanjawan kerajaan Afghanistan
Tetapi ironinya hampir separuh daripada rakyat hidup dalam kemiskinan, sementara kadar kematian bayi antara tertinggi di dunia dan jangka hayat antara yang paling rendah. Ini menunjukkan tahap penjagaan kesihatan tidak diberi perhatian. Sebahagian besar dana digunakan untuk keperluan pertahanan dan menjaga kepentingan AS.
Rakyat Afghanistan terpaksa membayar perang ini dengan harga yang tinggi. Dianggarkan 47,000 orang awam, 66,000 tentera dan polis, 51,000 Taliban, 4,000 tentera AS dan 1,100 tentera NATO terkorban sepanjang 20 tahun itu.
Selepas 20 tahun, keadaan kembali seperti pusingan pertama. Taliban kembali berkuasa dan rakyat menjadi pelarian. Afghanistan terus menjadi mangsa sandiwara AS. – MalaysiaGazette
- Ku Seman Ku Hussain yang merupakan penganalisis isu semasa merangkap bekas Pengarang Mingguan Malaysia