SEPANJANG Ogos yang diisytiharkan Bulan Kemerdekaan, menjadi kebiasaan untuk pelbagai aktiviti diadakan bagi menyuntik semangat patriotisme dan cintakan negara.
Rakyat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah atau di premis perniagaan, manakala program berkaitan kemerdekaan seperti banyak dianjurkan. Kemuncaknya, aktiviti amat sinonim, iaitu perarakan Hari Kebangsaan yang diadakan pada 31 Ogos setiap tahun.
Namun sejak tahun lalu, sambutan berubah sama sekali disebabkan pandemik COVID-19. Segala aktiviti bersempena Bulan Kemerdekaan berubah mengikut norma baharu.
Namun, ia bukan alasan untuk melunturkan semangat patriotisme dan nilai kecintaan kepada negara dalam diri masyarakat, sebaliknya ia semakin membara.
Hakikatnya, kita sekarang sama-sama berjuang untuk menang dalam perang melawan pandemik. Beroleh kemenangan boleh dianggap kejayaan memerangi musuh demi kemerdekaan negara tercinta.
Justeru, penting untuk bersatu hati mengukuhkan perpaduan tidak kira bangsa, agama, fahaman politik dan sebagainya. Apabila perpaduan dapat dikukuhkan, semangat patriotisme dan rasa kecintaan kepada negara akan terus mekar.
Hari ini keadaan mendesak kita menyambut Hari Kebangsaan secara norma baharu supaya nilai patriotisme dan cintakan negara dapat terus disemai.
Pelbagai kaedah dapat dijelmakan atau ditafsirkan demi membuktikan kecintaan kepada negara.
Antara paling mudah adalah dengan menyambut baik seruan kerajaan untuk mengibar Jalur Gemilang demi menyemarakkan Bulan Kemerdekaan.
Ia sebagai tanda solidariti dalam menyuntik semangat patriotisme dalam diri. Sememangnya ia nampak biasa, tetapi membawa nilai kecintaan terhadap negara yang tinggi.
Selaras norma baharu, sambutan kemerdekaan boleh sahaja diraikan dalam kalangan ahli keluarga terdekat di rumah. Ia demi kebaikan bersama dan paling penting, untuk menyekat penularan pandemik menjadi lebih teruk dalam komuniti.
Apabila semua ahli keluarga berada di rumah, generasi terdahulu boleh mengambil peluang ini untuk berkongsi pengalaman suka dan duka melalui perjuangan menentang penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan.
Mungkin ini antara cara bagaimana menyuntik patriotisme dalam generasi muda kini.
Kita juga perlu bersama berganding bahu membantu kerajaan dalam menangani pandemik ini. Ia juga satu pendekatan untuk kita menunjukkan perasaan cintakan negara.
Jangan dibiarkan kerajaan atau petugas barisan hadapan bersendirian dalam usaha menangani pandemik ini tanpa disahut dan didukung kita sebagai masyarakat Malaysia.
Seandainya segala usaha dibuat tidak mendapat sokongan dan dukungan rakyat, akhirnya usaha berkenaan menjadi sia-sia dan lebih teruk penularan COVID-19 tidak akan dibendung dengan jayanya.
Tidak dinafikan, terdapat pelbagai pendekatan boleh diadaptasi untuk menyuntik semangat partriotisme dalam kalangan masyarakat walaupun kita masih dalam usaha memerangi pandemik.
Malaysia adalah negara kita. Seandainya kita sebagai rakyat tidak mempertahankan kedaulatan negara siapa lagi yang boleh kita harapkan.
Oleh itu, marilah sama-sama kita berjuang memerangi pandemik COVID-19 supaya kita memperoleh satu lagi kemenangan dalam melawan musuh demi sebuah negara tercinta dan prihatin sejajar tema Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu Malaysia Prihatin.
Penulis adalah Ketua Unit Penyelidikan dan Pengurusan Maklumat Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam
Sumber: Berita Harian