Mengikuti perkembangan terkini perbalahan yang melibatkan 2 individu yang menyampaikan kebaikan; Ustaz Ebit Liew dan Saudara Nadir, amat menyedihkan.
Apatah lagi, mereka berdua secara rasminya membawa ‘semangat Islam’ dan kasih sayang sesama manusia.
Api perbalahan ini semakin marak, apabila ia turut ‘disertai’ oleh mereka yang berpangkat “ustaz”; pangkat yang seharusnya dijadikan tempat untuk umat Islam berharap akan ajaran Islam yang sebenar.
Sedang perbezaan pendapat dan perbalahan tentang sesuatu isu itu adalah tidak boleh dielakkan, seharusnya “ustaz-ustaz” ini mengambil pendekatan sesuai yang apa yang diajarkan di dalam Islam. Sebaliknya, ada hantaran-hantaran mereka di media sosial terutamanya, tidak ubah seperti menyimbah minyak di api yang marak.
Hari yang amat menyedihkan bagi umat Islam.
Usaha ke arah perdamaian sesama manusia adalah sesuatu yang amat disukai oleh Allah SWT kerana mendamaikan dua pihak yang bertelagah diumpamakan menyatukan dua hati yang berpecah seterusnya menutup pintu fitnah yang bakal dicetuskan oleh kedua-dua pihak.
Benarlah firman Alah SWT yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada sebarang usaha melainkan usaha untuk menganjurkan sedekah, berbuat kebaikan dan meleraikan permusuhan antara dua manusia. Maka sesiapa yang berbuat demikian kerana menuntut keredaan Allah SWT, akan mendapat ganjaran yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 114)
Oleh yang demikian, kita semua, termasuk juga ‘ustaz-ustaz’, perlu segera memainkan peranan untuk memperbaiki hubungan kedua-dua pihak yang berbalah dan bukan sebaliknya.
Ketika krisis antara Ali bin Abi Talib dan Mua’wiyah bin Abi Sufian, sekumpulan lelaki dating bertemu dengan Sa’ad bin Abi Waqqas, lalu bertanya;
“Wahai Sa’ad, kenapa engkau tidak turut serta dalam peperangan – merujuk kepada peperangan antara Ali dan Mu’awiyah? Engkau adalah Ahli Majlis Syura dan engkau lebih layak untuk melibatkan dirimu.”.
Mereka bertanya sedemikian kerana Sa’ad dilihat mengasingkan diri dan tidak cenderung kepada mana-mana kelompok samada Ali ataupun Mu’awiyah.
Jawab Sa’ad dengan penuh bijaksana:
“Aku tidak akan berperang selagi mana kalian tidak mendatangkan kepadaku pedang yang memiliki dua mata, lisan dan dua bibir untuk memaklumkan kepadaku sebelum aku menyerang; yang mana beriman dan yang mana kufur.”
Sa’ad berkata lagi, “Aku telah berjihad, dan aku tahu bagaimana jihad yang disyariatkan”.
Begitulah pendirian Sa’ad, berhadapan dengan situasi antara dua pihak yang bertelagah. Beliau memilih untuk tidak menyemarakkan api perbalahan.
Oleh yang demikian, jika kita tidak mampu menjadi garam, jangan pula menjadi langau. Jika tidak mampu menjadi air, jangan pula menjadi api.
Jika tidak mampu berkata-kata untuk ke arah kebaikan kedua-dua pihak, adalah lebih baik diam. “Man kaana yu’minu billaahi wal yaumil aakhiri – fal yaqul khaira au liyasmut’
Selusurilah sirah Nabi Muhammad SAW sewaktu Baginda menyelesaikan perselisihan di Quba’.
Semoga perselisihan ini akan dapat diselesaikan secara tuntas, mengikut landasan Sunnah dan Al-Quran.