Oleh :
Profesor Emeritus Dato Dr Wan Hashim Wan Teh
Teringat penulis ketika masih di sekolah rendah, antara tumpuan pelajaran Sejarah adalah untuk mengenali tokoh-tokoh yang hebat dan agung di dunia. Kita diajar mengenali Christopher Columbus yang menemui benua Amerika, Vasco da Gama menemui Tanjung Pengharapan atau Edmund Hillary dan Tiger Sherpa Tensing sebagai pendaki pertama berjaya menawan puncak Gunung Everest. Menariknya bagi kes ini, Sherpa Tensing sebagai pembantu dan penunjuk jalan juga mendapat pengiktirafan dunia.
Menelusuri sejarah kita sendiri, nama seperti Dato Bahaman dan Mat Kilau, Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor, Penghulu Dol Said (Naning), Tok Janggut (Kelantan) atau Rosli Dobbie (Sarawak) cukup signifikan walaupun mereka semua dianggap sebagai pemberontak dan penderhaka, kecuali Hang Tuah yang diterima sebagai wira dan tokoh lagenda Melayu dalam karya sastera atau cerita dongengan tempatan.
Cuma apabila kita sudah berada di universiti, barulah kita diperkenal oleh para sarjana kita sendiri bahawa tokoh-tokoh Melayu itu adalah sebenarnya wira dan pejuang penentang penjajahan. Sekurang-kurangnya, sejarah bangsa kita mulai dilihat dari kaca mata kita sendiri. Cuma penghargaan dan sanjungan kita terhadap mereka ini masih tidak seberapa, semacam memadai dan berpuas hati kerana nama mereka telah dimunculkan dalam buku teks sejarah.
Hal ini agak berbeza berbanding di negara-negara jiran kita misalnya di Indonesia yang agak lebih menyerlah dokongan dan sanjungan mereka terhadap para pejuang bangsa dan tanah air. Nama-nama seperti Pahlawan Deponegoro, General Tamrin, Haji Agus Salim dan sudah tentunya Sukarno dan Mohammad Hatta semacam memberi identiti teras kepada bangsa Indonesia.
Jika kita ke pulau Cebu Filipina, terdapat sebuah patung besar Penghulu Lapu-Lapu. Dia seorang tokoh pejuang yang berjaya membunuh Kapten Jeneral Ferdinand Magellan dalam satu peperangan di Pulau Mactan pada 27 April 1521 kerana Magellan cuba bertindak keras supaya mereka menerima agama Kristian.
Singapura juga mendahului kita dalam memberi pengiktirafan kepada para wira-wira keturunan Melayu seperti Lt Adnan Pahlawan Bukit Candu dan terbaharu, sanjungan kepada Panglima Awang sebagai orang Melayu pertama mengelilingi dunia dengan membina sebuah patung bersama-sama galeri sejarahnya.
Siapa Panglima Awang ?
Mengikut catatan seorang pengembara bangsa Itali, Antonio Pigafetta yang turut sama belayar dengan Ferdinand Magellan pada 1519-1521, selain Kapten Jeneral itu yang dinobatkan oleh masyarakat dunia sebagai “manusia pertama mengelilingi dunia”, turut bersama dalam pelayaran itu adalah seorang pemuda keturunan Melayu dikenali sebagai “Enrique” atau kemudiannya dikenali melalui novel karya Harun Aminurrashid sebagai “Panglima Awang”.
Awang dikatakan sebagai tawanan perang yang diserahkan kepada Magellan oleh Kapten Jeneral Alfonso de Albuquerque ketika Magallen hendak meninggalkan Melaka pada Disember 1511 sesudah Melaka berjaya dikuasai Portugis. Mengikut Kapten Magellan, Awang yang bergaji bulanan sebagai jurubahasa merupakan rakan serta pembantunya yang akrab lagi setia.
Di antara Disember 1511 hingga 27 April 1521 Awang sentiasa Bersama-sama Magellan ke mana saja termasuk turut sama dalam ekspedisi peperangan di sekitar utara Afrika iaitu di Azamor, Maghribi pada 1513. Awang juga sentiasa berada di sisi Magellan dalam pertemuan-pertemuan rasmi dengan orang-orang besar istana termasuk ketika menghadap Raja Charles (Sepanyol), membuktikan anak watan Melaka itu merupakan aset bernilai kepada Magellan sebagai jurubahasa yang fasih berbahasa antarabangsa di Alam Melayu.
Bagaimanapun, apabila Magellan terbunuh dalam pertempuran di Pulau Mactan, di Cebu, Filipina, di tangan penghulu pulau itu iaitu Lapu Lapu pada 27 April 1521, Awang dikatakan telah menghilangkan diri dan tidak lagi kembali ke kapal menyertai Armada Maluku.
Sesudah itu, tiada lagi cacatan rasmi oleh Pigafetta mengenai di mana gerangannya Awang dan kerana itu kisah selanjutnya ‘pelayaran Panglima Awang’ terpaksa berdasarkan kepada sumber cerita lisan atau sumber-sumber lain yang berbentuk spekulasi.
Bagaimanapun, beberapa sarjana tempatan dan penyelidik antarabangsa serta juga Kerajaan Negeri Melaka melalui beberapa siri Seminar peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa telah memperakukan dan memberi pengiktirafan rasmi bahawa Panglima Awang atau Enrique de Malacca adalah “Orang Melayu yang pertama berjaya mengelilingi dunia” bersama-sama Ferdinand Magellan yang telah lama diberi pengiktirafan oleh masyarakat di dunia barat dan fakta sejarah itu kekal lebih 500 tahun.
Sejarah dan jati diri bangsa
Ilmu sejarah adalah satu unsur jati diri bangsa terutamanya yang berkaitan dengan perjuangan bangsa itu menentang penjajahan untuk mencapai kemerdekaan. Melalui sejarah perjuangan bangsa juga, semangat patriotisme seperti bangga diri serta cintakan tanah air akan dapat ditanam terhadap generasi muda ketika masih dibangku sekolah, walau pun tidak cukup sekadar nama mereka diabadikan dalam buku-buku sejarah sahaja.
Ia mesti dijadikan sebagai artifek budaya untuk dipamerkan kepada khalayak umum serta para pelancong untuk dikunjungi dan dilihat seperti Muzium Perak Man di Lenggong atau Galeri Arkeologi pra sejarah di Merbok dan Sungai Batu, atau Muzium Perjuangan Askar Melayu di Port Dickson yang tidak begitu diketahui umum.
Jika kita mampu membina sebuah kapal Flor de La Mar milik penjajah Portugis yang telah memunggah khazanah dan harta kekayaan Empayar Melaka pada 1511 untuk dibawa pulang ke Portugal, kita sepatutnya berkali-berkali ganda lebih mampu membina sebuah jong Melayu Mendam Berahi yang jauh lebih besar dari Flor de LaMar serta dibina juga sebuah tugu peringatan bersama-sama galerinya untuk mengingati Panglima Awang@Henriq de Malacca yang merupakan Melayu pertama mengelilingi dunia, seperti mana terdapatnya tugu khas dibina oleh Kerajaan Sepanyol di ibu kota Lisbon sebagai mengingati sejarah pelayaran bangsa Sepanyol dalam meneroka dunia baru disusuli percubaan menakluki sebahagian dunia pada zaman penjahahan.
Malah, bagi salah seorang penyelidik Sejarah Martin Torodash melalui rencana ‘Magellan Histiography dalam ‘Historic American Historical Review’ 1971, beliau mengiktiraf dan menegaskan bahawa Panglima Awanglah yang sepatutnya dinobatkan sebagai “manusia yang pertama berjaya mengelilingi dunia”. Seperti katanya:”…they should confer the honour of premier circumnavigator upon Henrique de Malacca, Magellan’s slave, who certainly was the first man to take 360 degrees trip”.
— BERNAMA
Prof Dato Dr Wan Hashim Wan Teh merupakan Prof Emeritus di Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Sungai Besi.