KUALA LUMPUR: Global Systemes Asia Sdn Bhd (GSA) telah menjenamakan semula RUAG Malaysia sebagai Global Component Asia Sdn Bhd, setelah berjaya mengambilalih syarikat antarabangsa tersebut yang berpengkalan di Switzerland pada 15 Jun 2021.
Langkah tersebut merupakan yang pertama dilakukan oleh syarikat Malaysia, sekaligus meletakkan negara ini di landasan yang tepat sebagai hab industri ‘maintenance, repair, dan overhaul’ (MRO) aeroangkasa serantau.
Pengerusi GSA Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata pengambilalihan ini mampu meningkatkan keupayaan tenaga kerja sehingga 70 peratus, di samping fasiliti penyelenggaraan berkembang sebanyak 25 peratus.
“Berada Dalam Posisi Yang Kukuh Bagi Meningkatkan Pasaran Serantau di Australia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei”
Bercakap mengenai proses integrasi untuk GCA-RUAG, Pengerusi Global Systémes Asia Sdn Bhd, Dato ’Nonee berkata, “Berikutan pengambilalihan RUAG, kami mempunyai strategi yang sangat jelas. Tumpuan kami adalah gabungan bersepadu dengan tenaga kerja sedia ada dan RUAG serta memastikan penawaran perkhidmatan dan kemampuan kami dalam kelangsungan perniagaan berjalan dengan lancar. Kami juga tidak akan berkompromi dalam memastikan perkhidmatan pelanggan sedia ada sentiasa berada pada tahap yang tinggi”.
Dengan kemahiran dan pengetahuan dari RUAG serta portfolio pelanggan yang sedia ada, penggabungan kedua-dua syarikat ini dijangka akan melonjakkan kemampuan GCA untuk menjadi pemacu industri bukan sahaja di Malaysia, malah serantau seperti Australia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei. “
Sementara itu, Syahrul Amir Zaki, Ketua Pegawai Eksekutif Global Component Asia Sdn Bhd berkata, “Pemerolehan, penyatuan kepakaran serta kemampuan komprehensif ini menjadikan GCA sebagai komponen MRO yang diiktiraf secara global, terutama dalam peralatan starter-generator dan sistem pencahayaan pesawat, helikopter dan juga turboprop serantau.”
Tambahnya lagi, “GCA juga mempunyai kepakaran yang dipertingkatkan dalam spektrum alternator generator dan sistem pencahayaan sedia ada serta keupayaan dalam bidang produk baharu seperti penggerak hidraulik dan kawalan servo. Pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) GCA juga sedang membangunkan portfolio berinovasi tinggi yang akan dilancarkan tidak lama lagi”.
GCA berhasrat untuk menggandakan hasil pendapatan syarikat menjelang 2024 kepada RM12 juta dengan jumlah kontrak pelanggan bernilai 19.7 juta.